KUALA LUMPUR, 19 Jun (BERNAMA) -- Lebih 450 peserta daripada pelbagai sekolah, universiti dan institusi antarabangsa mempamerkan bakat mereka pada edisi ke-17 Festival of Colours of the World (FESCO) 2026, yang diadakan di Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) di Seri Iskandar, Perak, Sabtu lepas.
UTP dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan festival yang menonjolkan persembahan kebudayaan meriah di kampus itu dianjurkan oleh Kumpulan Seni Persembahan UTP (UPAG) dengan sokongan Unit Pemerkasaan Bakat Jabatan Hal Ehwal Pelajar.
Menampilkan 40 pasukan yang bertanding, edisi ke-17 FESCO itu mempersembahkan pelbagai tradisi tarian, warisan budaya dan ekspresi artistik dari Malaysia dan juga luar negara.
"Penyertaan institusi antarabangsa memperkayakan pengalaman festival, mewujudkan peluang untuk pertukaran budaya dan perkongsian perspektif artistik," menurut kenyataan itu.
Acara tersebut dirasmikan oleh pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian (JKKN) Perak Hisham Mat Husien dan dihadiri pengerusi Federation of International Dance Festivals (FIDAF) Asia Dr Mohamed Noor Rosli Baharom, naib presiden Pejabat Kemajuan, Komunikasi Strategik dan Perhubungan Alumni UTP dan Naib Provos (Hal Ehwal Pelajar) UTP, M.Saravanan.
UTP memaklumkan profil antarabangsa FESCO yang semakin berkembang telah dimantapkan lagi melalui kerjasamanya dengan FIDAF yang mengukuhkan peranannya sebagai platform untuk pertukaran budaya dan kerjasama artistik di luar sempadan negara.
Menurut kenyataan itu FESCO memainkan peranan penting dalam mengenal pasti dan memupuk bakat muda dalam seni persembahan dengan menyediakan peluang kepada peserta untuk mengembangkan kreativiti mereka, membina keyakinan dan mendapat pendedahan di platform yang lebih besar.
"Dalam dunia yang semakin dicorakkan oleh teknologi dan perubahan pesat, pemahaman budaya kekal sebagai keupayaan manusia yang penting, melengkapi kepakaran teknikal dan tinjauan global yang diperlukan untuk berkembang maju pada masa hadapan," katanya.
Nadi kepada festival ini ialah UPAG, yang ditubuhkan pada 2002 untuk mempromosikan kekayaan budaya Malaysia dan telah mewakili UTP dan negara di pelbagai acara tempatan dan antarabangsa, mengukuhkan peranannya sebagai duta budaya.
Kenyataan itu turut menekankan bahawa penganjuran acara berskala besar seperti FESCO menyediakan pelajar dengan pengalaman praktikal yang berharga dalam kepimpinan, kerja berpasukan, komunikasi dan pengurusan projek, sekali gus melengkapi perjalanan akademik mereka dengan kemahiran praktikal.
Menurut UTP, berkata walaupun universiti itu dikenali atas kekuatannya dalam kejuruteraan dan teknologi, namun ia tetap memberi penekanan kepada kepentingan seni, budaya dan warisan sebagai sebahagian daripada pengalaman pendidikan holistik.
"Melalui platform seperti FESCO, universiti ini kekal komited untuk memupuk graduan yang inovatif, berasaskan budaya dan bersedia untuk memberikan sumbangan bermakna dalam dunia yang semakin saling terhubung," maklum UTP.
-- BERNAMA