SHANGHAI, 19 Jun (Bernama-CMG) -- Persidangan Kecerdasan Buatan Sedunia (WAIC) 2026 dan Mesyuarat Peringkat Tinggi Tadbir Urus Global Kecerdasan Buatan (AI) akan berlangsung di Shanghai, timur China dari 17 hingga 20 Julai.
Bertemakan “Rakan Kecerdasan, Mencipta Masa Depan Bersama”, persidangan tahun ini akan dianjurkan bersama oleh 10 kementerian dan jabatan China termasuk Kementerian Luar, Kementerian Sains dan Teknologi, Kementerian Perindustrian dan Teknologi Maklumat serta Kerajaan Perbandaran Shanghai.
Perkara itu diumumkan pada majlis menandakan kiraan detik 30 hari menjelang WAIC 2026 yang diadakan di sini pada Rabu.
Buat julung kalinya, persidangan edisi ini akan menganjurkan platform akademik bertaraf antarabangsa iaitu WAIC Academic.
Penerima Anugerah Turing, Yao Qizhi akan bertindak sebagai Pengerusi persidangan, manakala Richard Sutton yang dikenali sebagai “Bapa Pembelajaran Pengukuhan” dilantik sebagai Pengerusi Bersama Antarabangsa.
Menurut pihak penganjur, sebanyak 284 kertas penyelidikan sah telah diterima dari 11 negara dan wilayah, melibatkan institusi pengajian tinggi terkemuka termasuk Universiti Princeton, Universiti Cambridge dan Universiti Tsinghua.
Kertas penyelidikan yang diterima pakai akan diterbitkan oleh Springer Nature.
Ruang pameran persidangan tahun ini meliputi lebih 100,000 meter persegi, dengan hampir 140 forum dan sesi perbincangan dijadualkan berlangsung.
Dalam pada itu, laluan “WAIC City Walk” versi dinaik taraf turut dilancarkan secara serentak, menghubungkan lebih 30 senario aplikasi AI di seluruh Shanghai, serta merangkumi tiga sistem pengalaman iaitu pameran, jalan bandar dan seluruh kawasan metropolitan.
-- BERNAMA-CMG