AM

Klinik Kesihatan Bakun-Murum Bernilai RM5 Juta Bakal Dibina, Manfaatkan Hampir 13,000 Penduduk

19/06/2026 06:18 PM

PUTRAJAYA, 19 Jun (Bernama) -- Klinik Kesihatan Bakun-Murum bernilai RM5 juta akan dibina bagi memberi manfaat kepada 12,992 penduduk di 102 penempatan sekitar kawasan itu sekali gus memperluas akses perkhidmatan kesihatan di kawasan pedalaman Sarawak.

Projek berkenaan akan dilaksanakan menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Sarawak Energy Berhad (SEB) yang dimeterai hari ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menyaksikan MoU yang ditandatangani Ketua Setiausaha KKM Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif SEB Power Sdn Bhd, Sarawak Energy Bunyak Lunyong.

Turut hadir Timbalan Menteri Digital Datuk Wilson Ugak Kumbong. 

Berucap pada majlis berkenaan, Dzulkefly berkata inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh Sarawak Energy adalah satu "piawaian emas" dan wajar dicontohi. 

Melalui MoU itu, Sarawak Energy akan membina sebuah Klinik Kesihatan (Jenis 6-7) yang lengkap dengan empat kuarters, blok bangunan sokongan serta fasiliti luar yang komprehensif di atas tapak seluas 4.21 hektar.

“Usaha ini bukan sekadar penambahan bangunan fizikal, ia adalah pelaburan terhadap nyawa dan kesejahteraan manusia. 

“Apabila siap kelak, sebanyak 12,992 penduduk yang menghuni di 102 penempatan sekitar Bakun dan Murum akan menerima manfaat secara langsung yang akan memendekkan jarak penderitaan dan memanjangkan jangka hayat kesejahteraan mereka,” katanya.

Dzulkefly turut meminta supaya pemantauan projek bersama kontraktor dilaporkan secara berkala dalam jawatankuasa khas KKM dan Sarawak Energy. 

“Kita mahu penyerahan kunci menjelang 2028 direalisasikan tanpa alasan dan tanpa kompromi kualiti,” katanya. 

Bagi memastikan perkhidmatan dapat terus diberikan sebaik sahaja klinik itu beroperasi, beliau berkata KKM akan bertindak secara proaktif untuk memberikan perkhidmatan kepada masyarakat.

“Kita tidak akan menunggu sehingga bangunan siap sepenuhnya untuk mencari petugas. 

“Apabila kemajuan fizikal projek mencapai 75 peratus, KKM akan terus memohon pertambahan keperluan sumber manusia bagi memastikan tiada fasa ‘lompang’atau kelewatan operasi sebaik sahaja ia diserahkan,” katanya.

Beliau berkata kelancaran projek juga menuntut libat urus secara inklusif dengan pemimpin setempat dan ketua masyarakat.

“Pendekatan whole-of-society ini bukan sahaja akan memudahkan urusan pembinaan, tetapi juga harus menjana limpahan impak ekonomi tempatan melalui peluang dalam rantaian pembangunannya,” katanya.

Pada sidang media berasingan, Dzulkefly berkata pihaknya akan menentukan jumlah tenaga kerja yang akan ditempatkan di klinik kesihatan baharu itu.

“Klinik ini sangat mustahak kerana ia adalah satu fasiliti yang ada pelbagai perkhidmatan termasuk klinik untuk pesakit luar,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2570556