KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) -- Vestland Bhd, melalui anak syarikat milik penuhnya Vestland Infra Sdn Bhd (VISB), menerima surat lantikan (LOA) daripada Scanwolf Trading & Construction Sdn Bhd (STCSB) untuk kontrak kerja bernilai RM65 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Vestland menyatakan kontrak itu melibatkan kerja-kerja cerucuk dan substruktur untuk satu blok pangsapuri perkhidmatan 74 tingkat, termasuk tempat letak kereta, tingkat bawah tanah, lot kedai dan kemudahan berkaitan di Jalan Pavilion di sini.
“Tarikh siap untuk kerja-kerja kontrak itu ialah pada 18 Jun, 2028, dengan tarikh permulaan bermula hari ini,” tambahnya.
Syarikat itu turut menyatakan kontrak berkenaan tidak akan memberi sebarang kesan ke atas modal saham terbitan dan pegangan saham pemegang saham utama Vestland memandangkan tiada terbitan saham biasa baharu dalam syarikat.
“Kontrak ini dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih Vestland serta anak syarikatnya sepanjang tempoh kontrak dengan mengandaikan tiada kelewatan ketara dalam garis masa pelaksanaan,” tambahnya.
-- BERNAMA