SUKAN

Noraqilah-Zi Yu Ambil Pendekatan Realistik, Bidik Kelompok 50 Dunia

17/06/2026 11:26 AM

KUALA LUMPUR, 17 Jun (Bernama) -- Pemain badminton wanita remaja sensasi negara Noraqilah Maisarah Ramdan memilih pendekatan realistik bersama Low Zi Yu, apabila meletakkan sasaran bagi menembusi kelompok 50 terbaik dunia sebagai langkah awal perancangan hala tuju karier mereka.

Atlet berusia 18 tahun itu berkata beliau tidak mahu terburu-buru mengejar sasaran besar, sebaliknya memilih untuk memberi tumpuan kepada peningkatan prestasi secara berperingkat, walaupun gandingan mereka semakin menunjukkan perkembangan positif di pentas antarabangsa.

“Kami mahu capai satu demi satu. Buat masa ini sasaran kami ialah kelompok 50 terbaik dahulu.

“Kelompok 32 terbaik dunia sememangnya penting, kerana ia membuka peluang beraksi dalam lebih banyak kejohanan utama, namun fokus ketika ini untuk terus memperbaiki kedudukan dunia secara berperingkat,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan baru-baru ini.

Aqilah berkata keserasian mereka yang kini menghuni kedudukan ke-70 dunia juga kian meningkat di atas gelanggang, sehingga mampu memberikan tentangan sengit kepada ranking tinggi dunia termasuk menewaskan beregu ranking kelapan dunia dari Taiwan Hsieh Pei Shan-Hung En Tzu pada Terbuka Australia, minggu lepas.

“Dulu bila lawan pasangan dari Taiwan, kami masih belum mampu beri tekanan kepada mereka.

“Tetapi apabila bertemu lawan yang sama selepas kira-kira dua bulan, kami sudah dapat beri saingan yang lebih baik. Saya rasa itu perkembangan yang positif untuk kami,” katanya.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2569486