KUALA LUMPUR, 20 Jun (Bernama) -- Pelari pecut negara Muhammad Azeem Mohd Fahmi memberi bayangan akan terus berpangkalan di Malaysia, bagi meneruskan kariernya selepas menamatkan pengajian di Universiti Auburn, Amerika Syarikat baru-baru ini.
Pemegang rekod kebangsaan acara 100 meter (m) dengan catatan 10.09 saat (s) itu berkata buat masa ini, beliau belum mempunyai perancangan untuk kembali ke Amerika Syarikat dan mahu meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga selepas empat tahun berada di luar negara.
“Sekarang fokus saya hanyalah untuk memberi tumpuan kepada keluarga sebenarnya, yang saya dah lama meninggalkan mereka.
“Saya cuma nak meluangkan masa yang lebih berkualiti bersama mereka. Buat masa ini saya juga belum ada perancangan untuk kembali ke luar negara, kerana saya yakin perkara terbesar yang membantu saya sehingga hari ini ialah orang yang saya sayang seperti keluarga, ibu bapa, adik-beradik, jurulatih dan rakan-rakan,” katanya kepada pemberita semalam.
Azeem berkata meskipun tidak lagi berkelana di luar negara, beliau masih akan mengikuti program latihan yang disediakan jurulatihnya dari Amerika Syarikat Ken Harnden, namun pemantauan harian akan dilakukan jurulatih tempatan Muhammad Amir Izwan Tan Abdullah.
“Saya masih lagi berlatih menggunakan program yang disediakan oleh jurulatih Amerika saya, Coach Ken Harnden, tetapi di sini saya akan dipantau sepenuhnya oleh Coach Amir Izwan,” katanya.
Dalam masa yang sama, atlet berusia 22 tahun itu berkata beliau bercadang untuk menyambung pengajian pada peringkat sarjana, namun bukan dalam tempoh yang terdekat.
“Insya-Allah saya juga merancang untuk melanjutkan pelajaran, mungkin sambung pengajian sarjana selepas ini, tetapi bukan dalam masa terdekat. Saya mahu berehat beberapa bulan dan fokus 100 peratus kepada sukan dahulu,” katanya.
-- BERNAMA