KUALA LUMPUR, 20 Jun (Bernama) -- Malaysia dan Turkmenistan memperkukuh komitmen kedua-dua negara untuk memperluas kerjasama dalam sektor tenaga, dan pada masa sama mengiktiraf sumbangan positif Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dalam sektor itu sejak sekian lama.
Pemimpin kedua-dua negara dalam kenyataan bersama hari ini menekankan mengenai kepentingan untuk mengukuhkan kerjasama dua hala dalam sektor tenaga.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Serdar Berdimuhamedov turut meraikan ulang tahun ke-30 kerjasama antara Turkmenistan dan Petronas, yang disifatkan sebagai pencapaian penting dalam hubungan yang kukuh dan berpanjangan antara kedua-dua pihak.
"Kedua-dua pemimpin mengulangi semula komitmen mereka untuk mengukuhkan lagi kerjasama yang teguh dan berpanjangan, dengan tumpuan yang tinggi terhadap sektor minyak dan gas (O&G) bagi pertumbuhan mampan serta kemakmuran bersama," menurut kenyataan itu.
Anwar baru sahaja mengakhiri lawatan rasmi beliau selama dua hari ke Turkmenistan bermula 18 hingga 19 Jun.
Para pemimpin turut menekankan kepentingan strategik beberapa perjanjian yang dimeterai di Ashgabat pada 19 Jun, termasuk Perjanjian Perkongsian Pengeluaran (PSA) antara State Concern Turkmennebit, Petronas Carigali (Turkmenistan) Sdn Bhd (PC(T)SB) dan State Enterprise Hazarnebit.
Selain itu, turut dimeterai adalah Perjanjian Kerjasama (CA) bagi pelaksanaan kajian seismik 2D di antara State Concern Turkmennebit dengan PC(T)SB serta Perjanjian Kerahsiaan antara State Concern Turkmengas dan Petronas Carigali International Ventures Sdn Bhd.
Perjanjian-perjanjian itu dijangka memantapkan lagi kerjasama dalam sektor huluan O&G.
Petronas dalam kenyataan berasingan memaklumkan, di bawah PSA yang dimeterai, PC(T)SB akan memegang 100 peratus kepentingan penyertaan bagi Blok 19 dan 20, sekali gus menandakan kemasukan Petronas ke kawasan cari gali baharu di Turkmenistan.
CA pula membolehkan pengumpulan data seismik baharu bagi menutup jurang data sedia ada serta membolehkan penilaian yang lebih menyeluruh terhadap blok luar pesisir utara.
Ketua Pegawai Operasi/Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Huluan Petronas Mohd Jukris Abdul Wahab berkata perjanjian itu mencerminkan keyakinan Petronas terhadap potensi berterusan sektor tenaga Turkmenistan serta kepercayaan terhadap pencapaian yang boleh diraih melalui kerjasama jangka panjang berlandaskan prinsip saling menghormati dan kerjasama teknikal.
Beliau turut menegaskan komitmen Petronas untuk terus bekerjasama dengan rakan strategiknya dalam membangunkan sumber secara bertanggungjawab, memperkukuh daya tahan tenaga serta menjana nilai mampan kepada semua pihak berkepentingan.
-- BERNAMA