Oleh Mikhail Raj Abdullah
KUALA LUMPUR, 21 Jun (Bernama) -- Bermula sebagai perniagaan kecil ketika pandemik COVID-19, jenama kasut tempatan Machino kini melakar pencapaian membanggakan apabila pengasasnya, dua beradik, Esther Tai Shen Hui dan Amy Tai Shuh Yuk, diiktiraf dalam Forbes 30 Under 30 Asia Class of 2026.
Anugerah berkenaan mengiktiraf usahawan muda, inovator dan pencetus perubahan di rantau Asia Pasifik.
Esther berkata idea menubuhkan Machino tercetus daripada keinginan menghasilkan kasut wanita yang bukan sahaja bergaya tetapi juga selesa dipakai.
Menurutnya, syarikat itu bekerjasama dengan bapa saudara mereka yang mengusahakan kilang kasut bagi menghasilkan kasut bertumit dan kasut rata yang menitikberatkan keselesaan pengguna.
Ciri-ciri utama berkenaan bukan sahaja menjadi penentu yang menjadikan kasut mereka begitu popular, malah inspirasi rekaan tempatan itu menarik perhatian Forbes.
"Kasut kami mempunyai lapisan span dalaman yang tebal dan ramai pelanggan memberitahu mereka boleh memakainya sepanjang hari, termasuk untuk melakukan urusan harian. Itu antara pencapaian terbesar kami, iaitu menghasilkan kasut bertumit yang selesa sehingga pelanggan kembali membeli berulang kali," katanya kepada Bernama.
KESUNGGUHAN, KERJASAMA TUNJANG KEJAYAAN SYARIKAT
Esther berkata pengiktirafan itu merupakan pencapaian bermakna buat syarikat yang diasaskan pada 2020 ketika pandemik COVID-19.
"Terpilih dalam Forbes 30 Under 30 Asia 2026 adalah satu detik yang membanggakan buat kami. Pengiktirafan ini bukan hanya untuk saya dan Amy, tetapi untuk seluruh pasukan yang telah bekerja keras membina Machino," katanya.
Machino dipilih dalam kategori runcit dan e-dagang atas kejayaan membangunkan jenama yang menggabungkan elemen fesyen, keselesaan dan identiti budaya Malaysia.
Kini, Machino mempunyai kehadiran dalam talian dan fizikal menerusi sebuah kedai di pusat beli-belah utama di Putrajaya serta sebuah lagi cawangan di Selangor.
Selain kasut wanita, syarikat itu turut menawarkan pelbagai produk lain termasuk beg tangan, beg jinjing, kasut kanak-kanak dan sandal lelaki.
Mengenai perancangan masa depan, Esther berkata Singapura menjadi pasaran antarabangsa pertama Machino, manakala matlamat jangka panjang syarikat adalah untuk membangunkan jenama fesyen yang diiktiraf di peringkat global secara mampan.
“Apa yang bermula sebagai impian dua beradik kini berkembang menjadi sesuatu yang jauh lebih besar daripada yang pernah kami bayangkan.
“Sepanjang enam tahun ini, kami melalui pelbagai cabaran, namun sokongan pelanggan dan komuniti sentiasa menjadi pendorong utama," kata Esther.
PENGIKTIRAFAN FORBES PERKUKUH KEYAKINAN TERHADAP SYARIKAT
Menurut Esther, mereka memulakan Machino dengan matlamat yang mudah: menghasilkan kasut yang selesa dan bergaya, yang suatu hari nanti diiktiraf di peringkat global.
“Disebabkan itu, apabila tersenarai dalam Forbes, ia menunjukkan kami berada di landasan yang betul,” kata beliau, sambil menambah pengiktirafan tersebut turut meningkatkan keyakinan rakan kongsi, pembekal dan pelabur masa depan terhadap usaha yang sedang dibangunkan syarikat itu.
Dalam usaha membangunkan sesuatu yang baharu, syarikat itu telah berjaya mewujudkan ciri-ciri tersendiri dalam pasaran kasut wanita yang sememangnya sangat kompetitif.
Selain itu, setiap pasang kasut Machino, sama ada bertumit mahupun rata, dihasilkan 100 peratus secara buatan tangan, sekali gus mencerminkan elemen budaya unik Malaysia yang menjadi daya tarikan utama serta membina kesetiaan pelanggan.
“Daripada corak batik yang halus hingga ke tekstur songket dan broked Cina, reka bentuk kasut kami menggabungkan elemen-elemen ini bagi menonjolkan keindahan serta kepelbagaian budaya Malaysia,” kata Esther.
Jenama Machino turut mengangkat elemen budaya Asia dalam kebanyakan rekaannya, termasuk penggunaan batik serta renda sari.
‘MACHINO’ BERMAKSUD MALAY, CHINESE, INDIAN DAN OTHERS
Esther menjelaskan beliau mahu masyarakat melihat reka bentuk beridentitikan Malaysia sebagai sesuatu yang bernilai dan unik.
Dari aspek perniagaan, katanya, Machino membangunkan pengalaman pelbagai saluran bersepadu (omnichannel) yang kukuh melalui laman web rasmi, TikTok Shop serta premis fizikal, selain penyertaan dalam pameran dan ekspo di Malaysia dan Singapura.
Syarikat itu juga memberi penekanan tinggi terhadap pengalaman pelanggan dengan melatih pasukan runcit menggunakan prinsip perkhidmatan yang diinspirasikan daripada industri hospitaliti dan penerbangan.
Beliau turut menjelaskan bahawa nama Machino sendiri melambangkan identiti Malaysia, dengan “MA” merujuk kepada Melayu, “CH” kepada Cina, “IN” kepada India dan “O” kepada Others.
Bunga Hana pula menjadi motif ikonik jenama tersebut yang digunakan pada kasut dan beg sebagai simbol sambutan terhadap budaya tempatan.
Kebanyakan produk Machino dihasilkan di Malaysia, sekali gus menyokong artisan tempatan serta memastikan industri pembuatan kasut kraftangan negara terus berkembang.
Ditanya mengenai strategi memenuhi permintaan pasaran kasut wanita, beliau berkata Machino memberi tumpuan kepada lima aspek utama iaitu produk, kualiti, pengalaman pelanggan, komuniti dan sumber manusia.
“Kami bekerjasama rapat dengan pengeluar bagi mengekalkan kualiti, dan seiring pertumbuhan syarikat, Machino sentiasa menambah baik pengalaman pelanggan secara dalam talian dan luar talian.
“Kami juga membina hubungan lebih kukuh dengan komuniti, melabur dalam pasukan dan sistem supaya bersedia untuk fasa pertumbuhan seterusnya,” katanya.
Esther berkata pendekatan model terus kepada pengguna (direct-to-consumer) Machino membantu syarikat kekal cekap dari segi kos.
“Dengan menjual terutamanya melalui laman web sendiri, TikTok Shop dan beberapa premis runcit terpilih, kami dapat mengurangkan kos tambahan yang lazim dalam saluran pengedaran tradisional.
“Ini juga membolehkan kami menguji produk dengan lebih pantas, memahami permintaan pelanggan dengan lebih baik serta mengelakkan lebihan pengeluaran, dan penjimatan tersebut disalurkan semula untuk memperbaiki produk, pasukan dan pengalaman pelanggan,” kata beliau.
AI PERKASA FOKUS PASUKAN TERHADAP KERJA BERKUALITI TINGGI
Dalam pada itu, Esther turut mengakui penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian syarikat membantu mempercepat dan memudahkan kerja.
“AI membantu kami mengikuti trend industri, menjana idea, menyediakan bahan latihan dan menyusun maklumat dengan lebih efisien.
“Namun, AI tidak menggantikan proses membuat keputusan; ia membantu pasukan menjimatkan masa dan memberi tumpuan kepada kerja bernilai tinggi,” katanya.
Dengan pemilihan penerima Forbes 2026 dibuat daripada hampir 4,000 pencalonan di 18 negara dan wilayah Asia Pasifik, penyertaan Machino dalam senarai tersebut dianggap sebagai pencapaian bermakna buat syarikat itu.
Calon bagi senarai berkenaan dalam 10 kategori dinilai oleh Pasukan Forbes Asia berdasarkan pelbagai aspek termasuk impak, keunikan, daya cipta serta inovasi dalam kerja mereka.
-- BERNAMA