IPOH, 21 Jun (Bernama) -- Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong Hasnul Zulkarnain Abd Munaim kembali menyertai Parti Amanah Negara (Amanah) selepas hampir enam tahun meninggalkan parti itu.
Pengerusi Amanah Perak Datuk Asmuni Awi berkata keputusan menerima semula Hasnul Zulkarnain yang juga bekas Ketua Pemuda Amanah negeri itu dipersetujui pada Mesyuarat Pengurusan Nasional dan Mesyuarat Kepimpinan Nasional Amanah pada 18 Jun lepas.
Beliau berkata Hasnul Zulkarnain sudah lama menyatakan hasrat untuk kembali menyertai Amanah, namun, sebelum ini suasananya kurang sesuai untuk perkara itu dibincangkan dan diproses.
“Bagaimanapun, kepimpinan parti berpandangan sudah tiba masa untuk pertimbangkan semula permohonan bekas ahli yang ingin kembali bersama Amanah, selaras pendekatan diambil beberapa parti politik lain,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Tahunan Amanah Tambun 2026 di sini, hari ini.
Asmuni berkata penyertaan semula Hasnul Zulkarnain dilihat mampu memperkukuh parti memandangkan ramai bekas ahli yang meninggalkan Amanah sebelum ini masih mempunyai kesetiaan dan semangat perjuangan yang sama.
Sementara itu, Hasnul Zulkarnain merakamkan penghargaan terhadap kepimpinan Amanah kerana memberi peluang kepadanya untuk kembali ke pangkuan parti, sambil menyifatkan keputusan berkenaan sebagai tanda keyakinan kepimpinan terhadap kemampuannya untuk menyumbang kepada parti.
Pada Mac 2020, Hasnul Zulkarnain bersama bekas ADUN Tronoh Yong Choo Kiong dan bekas ADUN Buntong A. Sivasubramaniam masing-masing dari DAP, mengumumkan keluar parti dan menjadi wakil rakyat bebas susulan pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Perak. Pada Julai tahun sama, Hasnul Zulkarnain menyertai Bersatu.
-- BERNAMA