TOKYO, 21 Jun (Bernama-Kyodo) -- Penarafan kelulusan terhadap Kabinet Perdana Menteri Jepun Sanae Takaichi susut kepada 55.8 peratus, paras terendah sejak beliau memegang jawatan pada Oktober tahun lepas, menurut tinjauan Kyodo News yang dikeluarkan pada Ahad, ketika ketidakpastian mengenai kesan ekonomi konflik di Asia Barat terus menyelubungi negara yang kekurangan sumber asli itu.
Dalam tinjauan telefon yang dijalankan pada hujung minggu, 54.7 peratus responden berpendapat tidak perlu menghantar Angkatan Pertahanan Diri Jepun ke laluan perairan strategik itu bagi menjamin pelayaran selamat kapal-kapal komersial, manakala 36.6 peratus berpandangan sebaliknya.
Tinjauan itu dijalankan selepas Amerika Syarikat (AS) dan Iran mencapai perjanjian damai awal yang merangkumi pembukaan semula Selat Hormuz oleh Tehran, lapor Kyodo News.
Ketika isi rumah terus bergelut dengan harga barangan yang masih tinggi, tinjauan itu turut menunjukkan bahawa peratusan terbesar responden, iaitu 43.9 peratus, berpendapat pengurangan cukai penggunaan bagi makanan dan minuman daripada kadar semasa 8.0 peratus kepada 1.0 peratus adalah boleh diterima sekiranya langkah itu membolehkan pelaksanaannya dipercepatkan.
Sementara itu, 22.6 peratus responden mahu kadar cukai itu dikurangkan kepada sifar, seperti yang dijanjikan oleh parti-parti pemerintah.
-- BERNAMA-KYODO