Oleh Siti Noor Afera Abu
KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) -- Indeks komposit Bursa Malaysia menutup dagangan minggu ini lebih tinggi sekali gus meneruskan kenaikan untuk sesi ketujuh berturut-turut, disokong oleh aktiviti belian yang kukuh pada saat-saat akhir dalam kaunter saham mewah terpilih.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat sebanyak 0.64 mata atau 0.03 peratus untuk ditutup pada paras tertinggi harian 1,712.03 daripada 1,711.39 semasa ditutup semalam.
Indeks utama dibuka rendah 7.35 mata kepada 1,704.04 dan menyusut kepada paras terendah harian 1,699.18 pada awal dagangan.
Keseluruhan pasaran adalah negatif, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 525 berbanding 491 manakala 547 kaunter tidak berubah, 1,173 tidak diniagakan dan 34 yang lain digantung dagangan.
Jumlah dagangan menyusut kepada 3.45 bilion unit bernilai RM3.79 bilion daripada 4.50 bilion unit bernilai RM3.45 bilion pada Khamis.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata keupayaan pasaran untuk meningkat daripada penyusutan harian mencerminkan kekuatan asas sentimen pelabur.
Beliau berkata aktiviti pembelian saham pada harga rendah masih jelas terutama dalam saham permodalan besar yang mempunyai asas kukuh memandangkan pelabur semakin yakin susulan ketegangan geopolitik yang reda serta penyusutan ketara harga minyak mentah.
“Harga tenaga yang lebih rendah boleh membantu mengurangkan tekanan inflasi dan mewujudkan persekitaran yang lebih menyokong pertumbuhan ekonomi dan pendapatan korporat pada masa hadapan,” katanya kepada Bernama.
Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata berkata pelabur terus didorong oleh ketegangan geopolitik yang semakin reda di Asia Barat susulan perjanjian damai baru-baru ini antara Amerika Syarikat dan Iran.
Beliau berkata penurunan berterusan harga minyak mentah Brent di bawah US$80 setong membantu meredakan kebimbangan terhadap tekanan inflasi serta menyokong sentimen bagi saham pengguna, pengangkutan dan beberapa saham pembuatan terpilih.
Pada masa sama, prospek inflasi Malaysia yang kekal terkawal mengukuhkan jangkaan bahawa Bank Negara Malaysia mengekalkan pendirian dasar monetari semasanya sekali gus menyediakan persekitaran yang menyokong pasaran ekuiti domestik.
"Secara keseluruhannya, peningkatan minat risiko dan asas ekonomi yang berdaya tahan terus menyokong sentimen pasaran walaupun masih terdapat ketidaktentuan yang berlarutan mengenai prospek kadar faedah global," katanya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank meningkat dua sen kepada RM11.18, Tenaga Nasional menambah enam sen kepada RM14.50 dan IHH Healthcare naik tiga sen kepada RM8.80 manakala Public Bank susut lima sen kepada RM4.95 dan CIMB menyusut 13 sen kepada RM7.65.
Antara saham aktif, Dagang NeXchange melonjak lapan sen kepada 46.5 sen, Zetrix AI mengukuh satu sen pada 78 sen dan Pentech meningkat 1.5 sen kepada 32.5 sen. Tanco susut setengah sen kepada 14 sen manakala Top Glove kekal tidak berubah pada 72 sen.
Antara kaunter paling untung, Malaysian Pacific Industries naik RM1.34 kepada RM49.90, Nestle menambah RM1.08 kepada RM96.22, United Plantations meningkat 86 sen kepada RM32.66, dan PPB menokok 82 sen kepada RM10.12.
Dalam kalangan kaunter paling rugi, Ajinomoto susut 16 sen kepada RM15.20, Ralco merosot 13 sen kepada 90 sen manakala Petronas Chemicals dan Mega First masing-masing turun sembilan sen kepada RM4.49 dan RM2.91.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 17.79 mata kepada 12,681.05, Indeks FBM Top 100 menokok 16.01 mata kepada 12,519.62 dan Indeks FBM Emas Shariah naik 68.95 mata kepada 12,558.66.
Indeks FBM Mid 70 menokok 71.77 mata kepada 18,162.58 dan Indeks FBM ACE melonjak 32.25 mata kepada 4,792.52.
Mengikut sektor, Indeks Tenaga meningkat 3.85 mata kepada 766.27 dan Indeks Perladangan melonjak 105.77 mata kepada 8,873.22 manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 72.56 mata kepada 20,204.58 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.14 mata kepada 190.57.
Jumlah Pasaran Utama berkurangan kepada 2.12 bilion unit bernilai RM3.51 bilion daripada 2.62 bilion unit bernilai RM3.04 bilion pada Khamis.
Jumlah dagangan waran menyusut kepada 717.45 juta unit bernilai RM72.58 juta daripada 986.61 juta unit bernilai RM131.42 juta sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran ACE susut kepada 608.27 juta unit bernilai RM205.51 juta daripada 895.14 juta unit bernilai RM283.17 juta semalam.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 229.71 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (354.34 juta), pembinaan (128.32 juta), teknologi (560.50 juta), perkhidmatan kewangan (111.65 juta), hartanah (269.07 juta), perladangan (35.44 juta), amanah pelaburan hartanah (51.18 juta), dana tertutup (495,000), tenaga (79.83 juta), penjagaan kesihatan (165.24 juta), telekomunikasi dan media (42.84 juta), pengangkutan dan logistik (26.70 juta), utiliti (69.86 juta), dan amanah perniagaan (27,300).
-- BERNAMA