AM

Dana Pembangunan Belia: Pulau Pinang Peruntuk RM129,900 Bagi 68 Program Tahun Ini

21/06/2026 06:24 PM

GEORGE TOWN, 21 Jun (Bernama) -- Pulau Pinang meluluskan Dana Pembangunan Belia sebanyak RM129,900 bagi menyokong pelaksanaan 68 program pembangunan belia melibatkan 48 persatuan dan pertubuhan belia tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan negeri Daniel Gooi Zi Sen berkata dana yang diluluskan menerusi Jawatankuasa Penilaian Dana Pembangunan Belia itu sebahagian daripada peruntukan RM200,000 yang disediakan kerajaan negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Belia.

“Dana itu satu pelaburan strategik yang memberi tumpuan untuk menganjurkan 68 program meliputi aspek seperti kemahiran, kebolehpasaran, kesukarelawanan, berpersatuan, kepimpinan dan program pengiktirafan atau penganugerahan kecuali bidang sukan.

“Dana itu bukan sekadar bantuan kewangan semata-mata tetapi satu bentuk kepercayaan dan amanah yang diberikan kepada pertubuhan belia untuk merealisasikan idea, kreativiti dan inisiatif mereka kepada program yang memberi impak nyata kepada masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Gooi mengingatkan pertubuhan yang menerima dana berkenaan supaya melaksanakan program dengan penuh amanah, telus dan mengamalkan pengurusan yang cekap bagi memastikan setiap inisiatif yang dirancang mencapai matlamat ditetapkan.

Beliau berkata kejayaan sesuatu program bukan hanya diukur melalui pelaksanaan aktiviti, sebaliknya turut mengambil kira impak jangka panjang kepada peserta dan komuniti, menjadikan semua pertubuhan terlibat perlu memberi perhatian kepada aspek keberkesanan, pengukuran hasil serta kesinambungan program dilaksanakan.

Dana Pembangunan Belia yang diperuntukkan sejak 2024 itu boleh dimohon oleh pertubuhan belia yang berdaftar di bawah Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) atau sayap pemuda persatuan berdaftar di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) kecuali parti politik.

-- BERNAMA


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2571197