JENAYAH & MAHKAMAH

Pengarah, Syarikat Kosmetik Didakwa Gagal Bayar Cukai Jualan Lebih RM43,000

23/06/2026 01:41 PM

ALOR SETAR, 23 Jun (Bernama) -- Sebuah syarikat memproses dan mengilang produk kosmetik serta  pengarahnya didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas enam pertuduhan gagal membayar cukai jualan berjumlah RM43,226.63 pada 2023.

Swiss Lab Biotech Sdn Bhd dan pengarahnya, Azhar Md Yusoff, 61, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim N Priscilla Hemamalini.

Syarikat itu yang diwakili pengarahnya sebagai Orang Kena Saman (OKS) menghadapi tiga pertuduhan gagal membayar cukai jualan berjumlah RM17,305.74, RM12,543.09 dan RM13,377.80 dalam tempoh ditetapkan mengikut Seksyen 26(5) Akta Cukai Jualan 2018 (Akta 806).

Kesalahan didakwa dilakukan di Bahagian Cukai Dalam Negeri, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Kompleks Kastam Persiaran Sultan Abdul Hamid di sini pada 1 Feb, 1 April dan 1 Jun 2023.

Sementara itu, Azhar berdepan tiga pertuduhan gagal membayar cukai jualan berjumlah sama dalam tempoh ditetapkan di bawah Seksyen 26(5) Akta 806 di lokasi dan tarikh yang sama.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 26(9) Akta 806 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa JKDM Muhamad Syafiq Haslan dan Normaliza Mat Isa memohon mahkamah mengenakan jaminan RM10,000 bagi semua pertuduhan, namun Azhar yang tidak diwakili peguam memohon jumlah lebih rendah kerana syarikatnya telah gulung tikar.

Mahkamah membenarkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2571878