EKONOMI

Iran Buka Ruang Bincang Bekalan Minyak Dengan Malaysia Susulan Pengecualian AS - Duta

23/06/2026 03:21 PM

KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) -- Pengecualian sementara selama 60 hari bagi jualan minyak mentah Iran dalam pasaran global membuka peluang untuk Iran dan Malaysia memperkukuh kerjasama ekonomi terutama dalam sektor tenaga.

 Amerika Syarikat (AS) melonggarkan sekatan minyak terhadap Iran melalui pengecualian sementara itu  seperti diumumkan selepas pusingan pertama rundingan antara kedua-dua negara di Switzerland, yang bertujuan mencapai perjanjian muktamad bagi menamatkan konflik.

Duta Iran ke Malaysia, Valiollah Mohammadi Nasrabadi berkata pengecualian itu membolehkan negara-negara membeli minyak mentah dan produk petroleum Iran tanpa sekaran sekali gus mewujudkan peluang untuk kerjasama yang lebih kukuh.

“Mana-mana negara kini boleh membeli minyak dan hasil pengeluaran minyak dari Iran, dan tiada larangan terhadap kerjasama sedemikian. Oleh itu, Malaysia juga boleh, sudah tentu, datang dan membeli minyak dari Iran,” katanya kepada pemberita di luar Persidangan Ekonomi Maritim Global 2026 anjuran Institut Maritim Malaysia di sini, hari ini.

Persidangan yang bertemakan “Advancing Resilience and Accelerating Sustainable Maritime Growth” (Memperkukuh Daya Tahan dan Memacu Pertumbuhan Mampan Maritim” itu meneroka trend yang membentuk pertumbuhan ekonomi maritim global dalam keadaan ketidaktentuan geopolitik yang masih berterusan.

Valiollah berkata perkembangan terkini itu membuka peluang kepada Malaysia dan Iran untuk memperluas kerjasama dalam pelbagai sektor khususnya ekonomi, memandangkan hubungan mesra yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara.

“Ada peluang yang baik bagi kedua-dua pihak untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang ekonomi, khususnya kerana kedua-dua negara menikmati hubungan yang sangat baik dalam semua bidang, termasuk politik, budaya, sains dan teknologi.

“Tiada sebarang halangan, dan saya yakin rundingan teknikal boleh diadakan antara pihak Iran dan Malaysia sekiranya Petroliam Nasional Bhd (Petronas) atau mana-mana syarikat lain berminat untuk membeli minyak Iran,” katanya.

Petronas sebelum ini mempunyai kepentingan dalam sektor huluan minyak dan gas Iran.

Bagaimanapun, berdasarkan maklumat yang tersedia kepada umum, syarikat minyak nasional itu tidak lagi mempunyai sebarang operasi huluan yang aktif di negara tersebut selepas keluar daripada pembangunan medan gas di sana sebelum ini.

Mengenai sama ada pengecualian itu akhirnya akan kekal atau sebaliknya, Valiollah berkata perjanjian semasa masih berkuat kuasa selama 60 hari, dengan rundingan lanjut dijangka diadakan bagi memuktamadkan perjanjian akhir.

“Kedua-dua pihak telah bersetuju untuk meneruskan rundingan ke arah perjanjian akhir.

“AS mesti menunjukkan komitmen dengan melaksanakan janji dan tanggungjawabnya,” katanya.

Sementara itu, agensi berita milik kerajaan, Anadolu Agency yang beribu pejabat di Ankara, melaporkan Iran mengeksport 36 juta tong minyak mentah sejak 15 Jun, manakala jumlah yang hampir sama berada di atas kapal luar pesisir sementara menunggu penghantaran.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2571958