Daripada Siti Zanariah Nor Zin
PINGXIANG (China), 23 Jun (Bernama) -- Permintaan yang semakin meningkat terhadap buah-buahan tropika dari Asia Tenggara di China mendorong peluasan hab perdagangan buah-buahan China-ASEAN di Guangxi, dengan durian muncul sebagai komoditi paling bernilai dalam perdagangan dua hala.
China-ASEAN (Chongzuo) Fruit Trading Centre di Guangxi, yang terletak di bandar Pingxiang, Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang, mempunyai kedudukan strategik antara Pelabuhan Persahabatan dan Pelabuhan Puzhai, sekali gus mempercepat pergerakan barangan menerusi dua pintu masuk utama yang menghubungkan China dengan Vietnam.
Jurucakap pusat itu berkata kemudahan seluas 32.5 hektar berkenaan mempunyai kapasiti import dan eksport tahunan sebanyak 2.42 juta tan metrik, selain merekodkan pertumbuhan perdagangan purata kira-kira 10 peratus setahun dalam tempoh lima tahun lalu.
“Pingxiang mempunyai kelebihan lokasi yang unik sebagai pintu masuk penting bagi perdagangan antara China dengan ASEAN.
“Dengan kemudahan logistik dan rantaian bekalan yang semakin lengkap, kami berupaya menyokong pertumbuhan berterusan perdagangan buah-buahan rentas sempadan,” katanya ketika memberi taklimat kepada delegasi media antarabangsa yang melawat pusat itu baru-baru ini.
Beliau berkata buah-buahan tropika seperti durian, nangka, mangga dan buah naga dari Asia Tenggara merupakan antara produk import utama yang memasuki pasaran China menerusi pusat berkenaan, manakala buah limau sitrus menjadi antara eksport utama China ke pasaran ASEAN.
Data perdagangan yang dipamerkan di pusat itu menunjukkan durian segar menjadi komoditi utama pada 2025, dengan jumlah dagangan sebanyak 805,600 tan bernilai kira-kira 22.89 bilion yuan.
Jumlah itu jauh mengatasi buah-buahan lain, seperti buah naga yang merekodkan dagangan sebanyak 483,500 tan bernilai 3.35 bilion yuan serta mangga sebanyak 416,800 tan bernilai 2.17 bilion yuan.
Limau sitrus pula mencatatkan jumlah dagangan sebanyak 234,700 tan bernilai 1.06 bilion yuan, manakala jambu batu merekodkan 62,700 tan bernilai 282 juta yuan.
Jurucakap itu berkata bagi memenuhi permintaan perdagangan rentas sempadan yang terus berkembang, pihaknya sedang melaksanakan fasa kedua pembangunan pusat berkenaan untuk meningkatkan kapasiti pemprosesan dan penyimpanan.
“Seiring peningkatan berterusan perdagangan buah-buahan antara China dengan ASEAN, kami akan terus menambah baik kemudahan logistik, penyimpanan dan pemprosesan bagi memenuhi keperluan pasaran yang semakin berkembang,” katanya.
Beliau berkata pembangunan baharu itu merangkumi penyediaan ruang khas yang mampu menempatkan ratusan kontena buah-buahan segar, selain kemudahan tambahan bagi meningkatkan kecekapan pengendalian kargo dan rantaian sejuk.
Projek berkenaan turut mewujudkan peluang pekerjaan dalam sektor logistik, pengendalian kargo, pengangkutan dan pemprosesan makanan, sekali gus menyokong pembangunan ekonomi tempatan serta memperkukuh hubungan perdagangan antara China dengan ASEAN.
Tinjauan Bernama mendapati selain kemudahan pelepasan kastam dan pengangkutan, pusat itu turut mengintegrasikan perkhidmatan logistik rantaian sejuk, gudang, pemprosesan makanan serta platform e-dagang bagi meningkatkan kecekapan pengurusan rantaian bekalan.
Buah-buahan import turut diproses menjadi produk nilai tambah seperti kek dan pastri durian, manakala platform jualan dalam talian serta pemasaran menerusi penstriman langsung membantu memperluas akses pasaran kepada pengguna.
(Penulis ialah wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) yang terpilih mewakili media Malaysia untuk menyertai program fellowship selama tiga bulan di bawah Program Pusat Komunikasi Akhbar China (CIPCC), anjuran Persatuan Diplomasi Awam China).
-- BERNAMA