BEIJING, 23 Jun (Bernama-CMG) -- Bilangan syarikat pelaburan asing di China terus meningkat, mencerminkan keyakinan berterusan pelabur terhadap pasaran negara itu.
Perkara itu dimaklumkan seorang pegawai Kementerian Perdagangan China pada sidang media di sini, Isnin.
Menurut pegawai berkenaan, jumlah syarikat asing yang berdaftar di China meningkat pada kadar purata 4.5 peratus tahun ke tahun bagi tempoh dari akhir 2020 hingga akhir 2025, mencecah 533,000 syarikat.
Dalam tempoh sama, jumlah kelulusan pelaburan asing menghampiri US$4 trilion (RM16.6 trilion).
Berdasarkan statistik awal, lebih 8,000 syarikat asing meningkatkan pelaburan mereka di China pada 2025, meningkat lebih 10 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini pula, hampir 4,000 syarikat asing memilih untuk membuat pelaburan tambahan di negara itu.
Dari segi sumbangan kepada ekonomi negara, hasil cukai tahunan daripada syarikat asing kekal sekitar RMB2.5 trilion (RM1.53 trilion), mewakili kira-kira satu pertujuh daripada keseluruhan hasil cukai China sejak 2020.
Syarikat asing turut menyediakan purata lebih 30 juta peluang pekerjaan setiap tahun dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.
Naib Menteri Perdagangan merangkap Naib Wakil Rundingan Perdagangan Antarabangsa China Ling Ji berkata China ketika ini kekal menduduki tempat pertama dalam kalangan negara membangun sebagai destinasi pelaburan asing, selain terus menjadi destinasi utama pelaburan rentas sempadan di peringkat global.
“Kami akan terus memperluas keterbukaan, mewujudkan persekitaran perniagaan yang lebih kondusif untuk pelabur asing, selain memperkukuh asas bagi menarik lebih banyak pelabur asing,” kata pegawai itu.
-- BERNAMA-CMG