JENAYAH & MAHKAMAH

Enam Pendatang Tanpa Izin Warga Myanmar Ditahan

24/06/2026 01:55 PM

KANGAR, 24 Jun (Bernama) -- Polis menahan enam pendatang tanpa izin warga Myanmar di kawasan pesisiran pantai Sungai Belati, Simpang Empat dekat sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kangar ACP Yusharifuddin Mohd Yusop berkata kesemua lelaki berusia antara 19 hingga 38 tahun itu ditahan ketika mereka berada di kawasan batu tebing pantai pada 11.36 malam hasil risikan pihak polis.

Yusharifuddin berkata kesemua mereka gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri semasa diminta berbuat demikian.

“Hasil pemeriksaan badan ke atas semua lelaki warga Myanmar itu, kami tidak menemui sebarang barangan salah dalam simpanan mereka. 

“Mereka dibawa ke Balai Polis Kuala Perlis untuk dokumentasi dan seterusnya diserahkan kepada pegawai penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kangar untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2572356