AM

Sultan Kedah Berkenan Melawat Bangunan Sultan Abdul Samad

24/06/2026 03:00 PM

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berkenan mengadakan lawatan ke Bangunan Sultan Abdul Samad (BSAS) di Jalan Raja, di sini hari ini.

Keberangkatan tiba baginda pada kira-kira 10.30 pagi di Porte Cochere BSAS disambut oleh Pengarah Urusan Khazanah Nasional Datuk Amirul Feisal Wan Zahir.

Turut menyambut ketibaan baginda ialah Ketua Pegawai Korporat dan Penasihat Undang-Undang Am Khazanah Nasional Datuk Mohamed Nasri Sallehuddin serta Ketua Aset Nyata Khazanah Nasional Selvendran Katheerayson.

Baginda berkenan melawat Balai Pertemuan atau Confluence Hall yang menempatkan galeri mengenai asal usul Kuala Lumpur, dan mendengar taklimat daripada Pengurus Kanan Think City Mariana Isa mengenai pengisian galeri berkenaan.

Sultan Kedah turut meluangkan masa melawat Balai Gagasan (Visionary Hall), yang menampilkan model pembangunan ibu kota dan paparan multimedia berkaitan Kuala Lumpur, sebelum meninjau balkoni Porte Cochere.  

Baginda seterusnya melawat School of Hard Knocks kendalian Royal Selangor, dan berkenan menyertai Majlis Santapan Ringkas sebelum berangkat pulang pada kira-kira 1.15 tengah hari.

Amirul Feisal berkata keberangkatan Sultan Kedah itu amat dihargai dan memberikan makna besar kepada usaha Khazanah Nasional memulihara BSAS, yang bukan sekadar tertumpu kepada bangunan fizikal tetapi turut bertujuan mengangkat semula sejarah negara, termasuk sejarah Kuala Lumpur, Selangor dan pembangunan Malaysia.

“Keberangkatan Tuanku Sultan Kedah ke sini memberikan penghargaan yang amat besar kepada usaha kami memulihara sejarah negara, yang bermakna bukan sahaja kepada masyarakat tetapi juga kepada institusi diraja,” katanya.

Beliau berkata sejak dibuka kepada orang ramai pada 2 Feb lepas, BSAS telah menerima kira-kira 200,000 pengunjung.

Pada 31 Jan lepas, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menyempurnakan Majlis Penyempurnaan Pemuliharaan BSAS Fasa 1 selepas kerja konservasi dan pemuliharaan selama 11 bulan di bawah program Dana Warisan Khazanah.

BSAS yang asalnya dikenali sebagai Bangunan Sekretariat pernah menjadi teras pentadbiran negara, serta menyaksikan penurunan Bendera Union Jack dan pengibaran Bendera Persekutuan Tanah Melayu buat kali pertama pada 1957.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2572397