SUKAN

Siri Remaja NJDP MGA 100PLUS Jadi Landasan Utama Cungkil Bakat Baharu Golf

24/06/2026 02:29 PM

SERDANG, 24 Jun (Bernama) -- Siri Remaja Program Pembangunan Remaja Kebangsaan (NJDP) Persatuan Golf Malaysia (MGA) 100PLUS 2026 yang baru dilancarkan bakal menjadi landasan utama mencungkil bakat baharu pemain golf muda negara.

Presiden MGA Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor berkata siri itu akan berfungsi sebagai platform kelayakan untuk Kejohanan Golf Remaja Antarabangsa Terbuka Malaysia (MIJO) pada November ini, dengan 30 tempat ditawarkan berdasarkan prestasi pemain.

Beliau berkata inisiatif itu menandakan satu langkah penting dalam memperkukuh pembangunan golf remaja di negara ini dengan menyediakan platform yang lebih tersusun dan kompetitif kepada pemain muda.

“Siri Remaja NJDP MGA 100PLUS akan menjadi antara platform pertandingan paling penting bagi pemain golf remaja di negara ini,” katanya pada majlis pelancaran siri berkenaan di The Mines Resort & Golf Club di sini hari ini.

Mohd Anwar turut merakamkan penghargaan kepada 100PLUS atas sokongan dan kerjasama berterusan dengan MGA dalam membangunkan bakat muda serta mempromosikan gaya hidup sukan yang sihat.

Sementara itu, Pengarah Libat Urus Kerajaan dan Industri F&N Holdings Bhd Norazrin Norsyam Yee berkata kerjasama itu sejajar dengan visi bersama 100PLUS dan MGA untuk membangunkan pemain golf remaja serta melahirkan juara masa depan.

Norazrin berkata 100PLUS percaya akan kepentingan program pembangunan remaja dan berharap pemain golf muda di seluruh negara akan merebut peluang bersaing dalam siri baharu itu.

Dalam pada itu, Pengerusi NJDP MGA Fauzi Mesran berkata pihak penganjur menyasarkan penyertaan 120 peserta bagi edisi sulung siri berkenaan.

Terbuka kepada pemain berusia bawah 18 tahun, siri itu akan menampilkan tiga pusingan kelayakan sebelum diakhiri dengan Grand Final.

Siri berkenaan akan berlangsung di Kelab Golf Kinrara, Kuala Lumpur dari 20 hingga 23 Julai, Permaipura Golf and Country Club di Sungai Petani, Kedah (10 hingga 13 Ogos), A’Famosa Golf Resort, Melaka (7 hingga 10 Sept) dan The Mines Resort & Golf Club (6 hingga 9 Okt).

-- BERNAMA

 

TAG:

 


PANS PANS NMN

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2572380