JENAYAH & MAHKAMAH

Anwar, Kerajaan Malaysia Fail Permohonan Batal Saman Pemula Ahli Parlimen Berkaitan ART

24/06/2026 05:37 PM

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan Malaysia memfailkan permohonan untuk membatalkan saman pemula lima Ahli Parlimen pembangkang berhubung Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia-Amerika Syarikat (AS).

Peguam Persekutuan Mohammad Sallehuddin Md Ali memaklumkan perkara itu kepada Mahkamah Tinggi pada pengurusan kes di hadapan Hakim Datuk Azizan Md Arshad.

Sementara itu, seorang daripada peguam mewakili plaintif, P. Waythamoorty memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya turut memfailkan satu permohonan bagi merujuk persoalan Perlembagaan kepada Mahkamah Persekutuan berkaitan ART.

Mahkamah kemudian menetapkan 8 Okt depan untuk pendengaran kedua-dua permohonan itu.

Pada 20 Feb lepas, Mahkamah Agung AS memutuskan penggunaan kuasa darurat oleh Presiden Donald Trump untuk mengenakan tarif timbal balas terhadap hampir semua rakan dagangan AS adalah tidak berpelembagaan.

Selain mengekalkan keputusan mahkamah rendah, mahkamah tertinggi itu memutuskan Trump telah bertindak melampaui kuasa presidennya apabila beliau menggunakan Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa 1977 (IEEPA) untuk mengenakan tarif global secara meluas serta duti berkaitan fentanil yang dikenakan ke atas barangan dari China, Kanada dan Mexico.

Malaysia dan AS telah memeterai ART pada 26 Okt 2025.

Lima Ahli Parlimen Perikatan Nasional yang memfailkan saman berkenaan ialah Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Fathul Huzir Ayob (Gerik), Datuk Awang Solahuddin Hashim (Pendang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah) dan Datuk Abdul Khalid Abdullah (Rompin).

Mereka memohon Mahkamah Persekutuan memutuskan persoalan penting mengenai kesahan perjanjian itu, yang didakwa ditandatangani tanpa kelulusan Parlimen yang sewajarnya.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2572511