PUTRAJAYA, 24 Jun (Bernama) -- Mahkamah Rayuan hari ini menjatuhi hukuman denda RM10,000 atau enam bulan penjara jika gagal membayar denda itu terhadap seorang peniaga selepas didapati bersalah atas pertuduhan menyebarkan berita tidak benar berhubung kematian seorang anggota polis yang kononnya disebabkan suntikan vaksin COVID-19, lima tahun lepas.
Panel tiga hakim dibarisi Datuk Noorin Badaruddin, Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid dan Datuk Seri Latifah Mohd Tahar membenarkan rayuan pendakwaan, membatalkan pembebasan Muhammad Zaki Omar dan mensabitkannya bersalah.
Ketika menyampaikan keputusan sebulat suara mahkamah, Hakim Mohd Radzi berkata pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap Muhammad Zaki.
Beliau berkata anggota polis yang yang disebut dalam hantaran dimuat naik Muhammad Zaki sebenarnya tidak meninggal dunia, sebaliknya hanya mengalami komplikasi kesihatan dan tiada bukti yang mengaitkan keadaan kesihatan anggota polis terbabit dengan suntikan vaksin itu.
Hakim itu berkata tindakan Muhammad Zaki memuat naik hantaran itu adalah tidak bertanggungjawab dan cuai, serta berkemungkinan bertujuan menimbulkan ketakutan atau kebimbangan dalam kalangan orang awam.
Menurut Hakim Mohd Radzi, responden (Muhammad Zaki) bukannya seorang profesional perubatan yang bertauliah untuk membuat sebarang kesimpulan mengenai kaitan antara keadaan anggota polis berkenaan dengan vaksinasi dan tiada bukti daripada sumber bebas serta berkelayakan yang menyokong dakwaan tersebut.
Muhammad Zaki, 41, dibebas dan dilepaskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar pada 11 Okt 2024, dan keputusan itu dikekalkan pada 14 Nov tahun lepas, sebelum pihak pendakwaan mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan.
Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa menyebarkan berita palsu menerusi Facebook menggunakan akaun peribadinya dengan niat menimbulkan kebimbangan terhadap orang awam pada 11.39 malam, 3 April 2021.
Dia didakwa mengikut Seksyen 4 (1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No. 2) 2021 yang memperuntukkan denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali dan bagi kesalahan berterusan, tertuduh boleh dikenakan denda selanjutnya tidak melebihi RM1,000 bagi tiap-tiap hari selama kesalahan itu berterusan selepas sabitan.
Pada prosiding hari ini, kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya How May Ling dan Ng Siew Wee manakala peguam Asiah Abd Jalil mewakili Muhammad Zaki.
Asiah ketika dihubungi Bernama mengesahkan bahawa Muhammad Zaki telah membayar denda itu.
-- BERNAMA