JENAYAH & MAHKAMAH

Imigresen Selangor Gempur Dua Kilang, Tahan 270 Warga Asing

24/06/2026 06:46 PM

KLANG, 24 Jun (Bernama) -- Jabatan Imigresen (JIM) Selangor menumpaskan kegiatan penggajian warga asing menerusi serbuan ke atas dua kilang di Meru dan Telok Gong di sini hari ini, melibatkan penahanan 270 individu atas pelbagai kesalahan imigresen.

Timbalan Pengarah Imigresen Selangor (Kawalan) Mohamad Khusairi Kamarudin berkata operasi yang bermula seawal 8 pagi itu dijalankan hasil risikan selama tiga minggu terhadap dua premis tersebut.

“Di sebuah kilang plastik, JIM Selangor menahan 18 lelaki berusia 18 hingga 50 tahun terdiri daripada 16 Bangladesh dan masing-masing seorang dari Nepal serta Myanmar, hasil pemeriksaan terhadap 66 warga asing.

“Serbuan pada 1 tengah hari di kilang perabot memeriksa 520 warga asing lelaki dan menahan 252 individu, iaitu 175 warga Bangladesh, Pakistan (39 orang), Nepal (33 orang), Myanmar (4 orang) dan seorang dari Sri Lanka yang berusia 18 hingga 50 tahun,” katanya pada sidang media Ops Mega JIM di sini hari ini.

Mohamad Khusairi berkata majoriti individu itu dikesan terlibat dalam kesalahan tinggal lebih masa serta penyalahgunaan pas lawatan yang sepatutnya digunakan bagi sektor atau lokasi diluluskan sahaja.

Selain itu, beliau berkata situasi tersebut menunjukkan masih terdapat segelintir pihak termasuk majikan yang memandang ringan terhadap kepentingan dokumen pekerja mereka.

“Majikan perlu sentiasa peka terhadap status dan keberadaan setiap pekerja asing yang diambil dengan memastikan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) digunakan mengikut sektor serta kawasan yang diluluskan sahaja.

“Jika seseorang pekerja itu telah diluluskan untuk berkhidmat di Selangor, maka dia sama sekali tidak boleh dipindahkan atau bekerja di lokasi lain yang tidak berdaftar serta tidak dibenarkan oleh pihak JIM,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata warga asing dinasihatkan supaya sentiasa membawa dokumen pengenalan dan perjalanan bagi memudahkan proses pemeriksaan di lapangan kerana kesahihan alasan dokumen tertinggal akan ditentukan melalui siasatan lanjut.

Kesemua 270 individu yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat JIM Selangor untuk proses dokumentasi, saringan kesihatan dan siasatan menyeluruh.

Ops Mega JIM melibatkan 50 pegawai dan anggota JIM Selangor, Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

-- BERNAMA

 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2572541