JENAYAH & MAHKAMAH

JPJ KL Sita 43 Kenderaan Dipandu Warga Asing

25/06/2026 04:33 PM

KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur menyita 43 kenderaan yang dipandu warga asing tanpa lesen memandu sah dalam Operasi Pemandu Warga Asing (PeWA) di sekitar Taman Rekreasi Kampung Tasik Tambahan, Ampang hari ini.

Pengarah JPJ Kuala Lumpur Hamidi Adam berkata pemandu warga asing berkenaan terdiri daripada 17 warga Myanmar, Indonesia (lapan), Bangladesh dan Pakistan (masing-masing tujuh) serta India (empat).

Beliau berkata daripada jumlah kenderaan yang disita, 12 daripadanya milik rakyat tempatan yang disewakan kepada warga asing, membabitkan kenderaan roda tiga dan motosikal.

“Bakinya ialah motosikal yang dibeli warga asing menggunakan kad pengenalan warga tempatan menerusi skim bayaran ansuran selain ada yang membeli terus daripada warga tempatan. 

“Pemilik berdaftar tidak seharusnya membenarkan warga asing memandu kenderaan mereka tanpa lesen atau menyalahgunakan Lesen Kenderaan Motor (LKM) bagi tujuan perniagaan kerana tindakan tegas akan dikenakan,” katanya pada sidang media selepas tamat operasi yang bermula 7.30 pagi itu.

Hamidi berkata siasatan turut mendapati kenderaan berkenaan disewakan kepada warga asing yang menjalankan pelbagai jenis perniagaan termasuk barangan lusuh, aiskrim, roti serta jualan ayam hidup, dengan kadar sewaan antara RM400 hingga RM500 sebulan.

“Warga asing yang tidak memiliki lesen memandu atau lesen vokasional akan dikenakan tindakan di bawah Seksyen 26(1) dan Seksyen 57 Akta Pengangkutan Jalan 1987, manakala kesalahan ubah suai teknikal diambil tindakan di bawah Seksyen 6(1) akta sama.

“Bagi kenderaan yang tidak mempunyai perlindungan insurans, tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 90(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata pada tahun lepas, sebanyak 688 kes telah diambil tindakan dalam Ops PeWA berbanding 1,220 kes pada tahun sebelumnya.

“Namun bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini sahaja, sebanyak 2,080 tindakan telah diambil dan angka itu dijangka terus meningkat sekiranya operasi berterusan dilaksanakan,” katanya.

Dalam pada itu, Hamidi berkata tindakan segelintir warga tempatan yang meminjamkan kad pengenalan bagi membolehkan warga asing memiliki kenderaan dikenal pasti antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan kes kenderaan dipandu warga asing tanpa lesen memandu yang sah.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2572951