PUTRAJAYA, 24 Jun (Bernama) -- Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan memberikan pampasan RM2 juta kepada dua bekas pengarah syarikat yang diberhentikan kerja secara tidak adil.
Panel tiga hakim dibarisi Datuk Seri Vazeer Alam Mydin Meera, Tan Sri Ahmad Terriruddin Mohd Salleh dan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali sebulat suara menolak rayuan Acexide Technology Sdn Bhd dengan kos RM150,000.
Semasa menyampaikan keputusan mahkamah, Mohd Nazlan berkata rayuan yang difailkan syarikat itu tidak mempunyai merit.
Beliau berkata kedua-dua responden, Woon Kim Choy dan Chang Heng Keong diberhentikan tanpa sebab atau alasan yang munasabah.
Mahkamah katanya turut mendapati walaupun responden merupakan pengarah syarikat, mereka masih tergolong sebagai “pekerja” mengikut takrif yang diperuntukkan dalam Akta Perhubungan Perusahaan 1967.
Pada 2024, Mahkamah Rayuan memberikan pampasan sebagai ganti pemulihan kerja sebanyak RM893,000 kepada Woon selaku bekas pengarah teknikal dan RM1.15 juta kepada Chang yang merupakan bekas pengarah projek, selepas membatalkan keputusan Mahkamah Perusahaan yang menolak tuntutan mereka.
Mahkamah Rayuan turut memerintahkan Acexide Technology membayar faedah lapan peratus setahun ke atas jumlah pampasan yang diberikan, dikira mulai 9 Ogos 2022 sehingga penyelesaian penuh.
Mahkamah Rayuan sebelum itu memutuskan bahawa kedua-dua mereka merupakan “pekerja” dalam takrifan Akta Perhubungan Perusahaan 1967 dan Mahkamah Perusahaan mempunyai bidang kuasa untuk mendengar aduan mereka berhubung pemecatan tidak adil.
Mahkamah itu juga memutuskan walaupun Woon dan Chang merupakan pengarah syarikat, mereka pada masa sama adalah pekerja syarikat berkenaan.
Woon dan Chang bersama BH Lim merupakan pengasas Acexide Technology ketika syarikat itu diperbadankan pada penghujung 1996. Kemudian, kedua-duanya menjadi pemegang saham dan pengarah syarikat.
Bagaimanapun, Lim melalui pegangan saham majoriti yang dimilikinya telah memanggil Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) pada November 2019 bagi menyingkirkan Woon dan Chang daripada jawatan pengarah syarikat.
Susulan itu, kedua-dua mereka memfailkan aduan di bawah Seksyen 20 Akta Perhubungan Perusahaan 1967 kepada Ketua Pengarah Perhubungan Perusahaan atas alasan pemecatan secara tidak sah.
Namun, Mahkamah Perusahaan menolak tuntutan mereka dan keputusan itu kemudian dikekalkan oleh Mahkamah Tinggi yang turut menolak permohonan semakan kehakiman yang difailkan.
Dalam prosiding hari ini, syarikat itu diwakili peguam Steven Thiru, Khoo Wai Tuck, Janice Ann Leo, Adrienne Sena dan Anthanasia Yolanda Bartholome, manakala Woon dan Chang diwakili peguam Gavin Jayapal, Merissa Ann Augustin, Sivanandini Sreegantham, Goh Yee Huey dan Fang Huey Yiing.
-- BERNAMA