JENAYAH & MAHKAMAH

APMM Tahan Tiga Pekerja Sangkar Ikan Warga Asing Tiada Permit Kerja Sah

24/06/2026 06:05 PM

GEORGE TOWN, 24 Jun (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menahan tiga pekerja warga asing disyaki tidak memiliki permit kerja sah dalam pemeriksaan di sebuah sangkar ikan di 0.1 batu nautika di utara Teluk Bahang, semalam.

Pengarah APMM Pulau Pinang Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata pemeriksaan pada 1 tengah hari itu dijalankan selepas Pusat Operasi Ibu Pejabat APMM Pulau Pinang bertindak atas maklumat diterima.

"Tiga pekerja warga asing iaitu dua lelaki warga Myanmar dan seorang lelaki Bangladesh didapati gagal mengemukakan dokumen dan permit kerja yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kesemuanya yang berusia 21 hingga 39 tahun itu disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 5(2) akta sama kerana memasuki atau keluar dari Malaysia tidak melalui pintu masuk yang diwartakan.

Pemilik sangkar ikan itu, katanya turut disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 13(a) Akta Perikanan 1985 kerana mengendalikan sistem kultur laut tanpa lesen sah.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2572527