JENAYAH & MAHKAMAH

Ban Pecah, 32 Rumah Di Banting Dilanda Banjir

25/06/2026 07:58 AM

SHAH ALAM, 25 Jun (Bernama) -- Sebanyak 32 rumah di Taman Langat Utama 2, RTB Bukit Changgang di Banting terjejas akibat banjir selepas berlaku kejadian ban pecah kira-kira 800 meter dari kawasan perumahan berkenaan malam tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ashrul Riezal Asbar memaklumkan kejadian berlaku kira-kira 11 malam dengan kebanyakan penghuni telah keluar dari kawasan itu.

Ashrul Riezal berkata bagaimanapun pihaknya menerima panggilan kecemasan 4.12 pagi sebelum enam pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Banting tiba di lokasi pada 4.35 pagi bagi menjalankan pemantauan dan operasi bantuan.

“Setakat ini, sebanyak 32 rumah terjejas dengan banjir yang melanda kawasan berkenaan. Pihak bomba turut menasihatkan penduduk yang masih berada di kawasan terlibat supaya segera berpindah ke lokasi lebih selamat sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.  

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2572686