AM

Melaka Perkenal Inisiatif QR Tag Perkukuh Pemantauan, Penguatkuasaan Haiwan Ternakan

25/06/2026 12:07 PM

Oleh Mohd Fakri Awang Lah

MELAKA, 25 Jun (Bernama) -- Kerajaan Negeri Melaka mengambil inisiatif memperkenalkan sistem Tag Kod Respons Cepat (QR Tag) Haiwan Ternakan sebagai langkah memperkukuh pemantauan ternakan serta memudahkan pengenalpastian pemilik sekiranya berlaku insiden melibatkan haiwan ternakan di negeri itu.

Ketua Penolong Setiausaha Unit Kerajaan Tempatan (UKT), Jabatan Ketua Menteri Melaka (JKMM) Mahathir Mustafa berkata inisiatif yang diterajui secara kerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Melaka itu merupakan sebahagian daripada agenda pendigitalan kerajaan negeri bagi meningkatkan keberkesanan pengurusan dan penguatkuasaan ternakan.

"Pelaksanaan QR Tag ini bukan sahaja memudahkan pihak berkuasa mengenal pasti pemilik ternakan dengan lebih cepat dan tepat, malah dapat meningkatkan tahap tanggungjawab penternak terhadap haiwan yang dipelihara.

"Ia merupakan satu pendekatan baharu yang lebih sistematik dan efisien dalam memastikan pengurusan ternakan di Melaka berada pada tahap terbaik, selaras dengan aspirasi Melaka sebagai negeri pintar dan berdaya huni," katanya kepada Bernama.

Mengulas lanjut, Mahathir berkata setiap ternakan yang didaftarkan akan dipasang tag telinga mengandungi kod QR dan nombor pengenalan unik yang membolehkan maklumat asas penternakan dapat diakses dengan segera melalui imbasan telefon pintar.

Mahathir berkata, setakat awal Jun tahun ini, sebanyak 2,000 ekor ternakan dipasang QR Tag dengan kerajaan negeri menyasarkan pelaksanaannya diperluas secara berperingkat sehingga meliputi keseluruhan populasi lembu dan kerbau berdaftar di Melaka yang dianggarkan berjumlah lebih 32,000 ekor.

Beliau berkata sistem itu turut membantu usaha pemantauan pergerakan ternakan, kawalan penyakit serta memperkukuh penguatkuasaan terhadap isu ternakan berkeliaran yang boleh menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.

Katanya, keperluan pelaksanaan sistem berkenaan menjadi semakin penting berikutan peningkatan kes melibatkan ternakan berkeliaran yang bukan sahaja mengundang aduan orang ramai, malah berpotensi mengancam keselamatan pengguna jalan raya.

"Sejak 2023, sebanyak 835 kes kemalangan melibatkan haiwan ternakan serta lebih 50 aduan berkaitan ternakan berkeliaran direkodkan di Melaka dan statistik ini menunjukkan perlunya satu mekanisme yang lebih berkesan bagi memastikan pemilik ternakan dapat dikenal pasti dengan segera apabila berlaku sesuatu insiden.

"Dengan adanya QR Tag, pihak berkuasa tidak lagi berdepan kesukaran untuk mengesan pemilik ternakan kerana maklumat asas seperti nama penternak, ID premis dan lokasi penternakan boleh diperoleh terus melalui imbasan kod QR menggunakan telefon pintar," katanya.

Mahathir berkata tag berkenaan akan kekal sebagai identiti rasmi ternakan sepanjang hayat haiwan itu dan tidak perlu ditukar walaupun berlaku urusan jual beli atau pertukaran pemilikan.

Sebaliknya, katanya, maklumat pemilik baharu hanya perlu dikemas kini dalam sistem eVetPermit Malaysia bagi memastikan rekod pemilikan sentiasa tepat dan terkini.

Sementara itu, beliau berkata pelaksanaan projek berkenaan turut mendapat maklum balas positif daripada penternak yang melihat sistem tersebut sebagai langkah melindungi kepentingan mereka selain membantu meningkatkan imej industri penternakan negeri.

Katanya, kerjasama erat antara UKT, JPV dan pihak berkuasa tempatan (PBT) menjadi faktor penting dalam memastikan pelaksanaan inisiatif itu berjalan lancar dan mencapai objektif yang ditetapkan.

"Kerajaan negeri komited untuk memperluaskan penggunaan teknologi dalam pelbagai sektor termasuk penternakan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap, telus dan berkesan kepada rakyat," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata kerajaan negeri menanggung sepenuhnya kos pemasangan QR Tag iaitu RM6.50 bagi setiap seekor ternakan sehingga penghujung tahun ini bagi menggalakkan penyertaan penternak dalam program berkenaan.

Katanya, sepanjang tempoh berkenaan, penternak hanya perlu mendaftarkan ternakan mereka dengan JPV Melaka untuk menerima QR Tag secara percuma dan selepas tempoh pengenalan berakhir, kos pemasangan baharu atau penggantian tag akan ditanggung oleh penternak iaitu RM5.00 bagi setiap ekor ternakan bermula 2027.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2572739