POLITIK

Pemuda UMNO Johor Buat Laporan Polis Susulan Kenyataan Puad Zarkashi Didakwa Sentuh 3R

25/06/2026 04:15 PM

JOHOR BAHRU, 25 Jun (Bernama) -- Pemuda UMNO Johor membuat laporan polis terhadap Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi susulan kenyataannya yang didakwa menyentuh isu 3R, dan dikhuatiri boleh menimbulkan rasa tidak puas hati serta kebencian terhadap institusi diraja.

Ketua Pemuda UMNO Johor Noor Azleen Ambros berkata kenyataan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit itu juga mempunyai unsur hasutan yang boleh mewujudkan ketidaktenteraman awam.

Beliau berkata laporan itu dibuat bagi membolehkan siasatan menyeluruh dijalankan oleh pihak berkuasa mengikut Akta Hasutan 1948 (Akta 15) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Kita hormat keputusan beliau secara peribadi untuk meninggalkan parti. Tetapi, kita kurang setuju dan kurang selesa dengan alasan yang diberi, iaitu seolah-olah sehingga mengheret institusi diraja dalam isu (politik) ini," katanya pada sidang media selepas membuat laporan berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam, di sini hari ini.

Beliau berkata pemuda di kesemua 26 Bahagian UMNO di negeri itu juga akan membuat laporan polis berhubung perkara berkenaan hari ini.

Mohd Puad menerusi kenyataan yang dimuat naik dalam Facebook hari ini mengumumkan keluar daripada UMNO berkuat kuasa serta-merta, dan menyatakan keputusan itu dibuat tanpa sebarang paksaan dan bagi membolehkan beliau menyuarakan pandangan secara bebas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon bagi PRN Johor pada 27 Jun ini, manakala hari pengundian pada 11 Julai.

--BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2572937