POLITIK

Ahli UMNO Perlu Utamakan Perjuangan Parti, Rakyat - Azalina

25/06/2026 04:09 PM

JOHOR BAHRU, 25 Jun (Bernama) -- Ahli UMNO perlu meletakkan kesetiaan kepada perjuangan, prinsip parti serta rakyat mengatasi kekecewaan peribadi susulan proses pemilihan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

Ketua Penerangan UMNO Datuk Seri Azalina Othman Said berkata kematangan dan disiplin parti menuntut semua pihak menerima keputusan yang telah dibuat serta meneruskan perjuangan secara bersama, walaupun wujud suara tidak puas hati selepas penamaan calon.

“Perbezaan pandangan boleh diraikan. Teguran boleh diberikan. Kekecewaan boleh difahami. Namun apabila keputusan telah dibuat melalui saluran parti, disiplin menuntut semua pihak kembali bergerak sebagai satu pasukan.

“Rakyat memerhati bukan sahaja apa yang kita janjikan, tetapi bagaimana kita bertindak ketika diuji,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas mengenai kekecewaan ahli dalam pemilihan calon, Azalina berkata bahawa setiap parti besar pasti berdepan situasi sedemikian, namun ukuran sebenar seorang pejuang terserlah apabila mereka tetap setia walaupun namanya tidak disenaraikan.

Dalam masa sama, beliau mengucapkan tahniah kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi serta kepimpinan UMNO Johor kerana mengurus proses pemilihan calon dengan tenang, tertib dan berani.

Azalina turut berkata UMNO tidak pernah ketandusan pemimpin kerana parti itu sentiasa mempunyai pelapis, pemimpin akar umbi, tokoh muda dan tenaga baharu yang menunggu masa untuk diberi amanah.

Terdahulu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mengumumkan keluar daripada parti berkuat kuasa serta-merta bagi membolehkan beliau menyuarakan pandangan secara bebas.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki pula mendakwa tindakan Mohd Puad itu berpunca daripada rasa tidak puas hati selepas anak beliau tidak dipertimbangkan sebagai calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit pada PRN Johor.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon bagi PRN Johor pada 27 Jun ini, manakala hari pengundian pada 11 Julai.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2572933