SUKAN

Tiga Penamat Di Puncak Bukit Jadi Taruhan Pelumba Di LTdL 2026

25/06/2026 07:20 PM

PUTRAJAYA, 25 Jun (Bernama) -- Tiga penamat di puncak bukit menjadi cabaran pelumba pada edisi ke-30 Kejohanan Berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026 yang bakal berlangsung dari 27 Sept hingga 4 Okt ini.

Menteri Belia dan Sukan Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata LTdL 2026 yang berlangsung sebanyak lapan peringkat akan menjelajah ke lapan negeri di Semenanjung, dengan jarak keseluruhan 1,258.5 kilometer (km).

Beliau berkata perlumbaan istimewa yang menyajikan cabaran laluan paling sukar dalam sejarah penganjuran itu akan dikelola Majlis Sukan Negara (MSN) dengan kerjasama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) selepas berjaya menganjurkan tiga edisi terdahulu dengan cemerlang.

“Pendakian ikonik ke Gunung Jerai diperkenalkan buat pertama kali pada Peringkat Kedua, dari Taiping ke puncak Gunung Jerai. Walaupun pendakian dilabelkan sebagai pendakian Kategori 1, namun permulaan mendaki dari aras laut di kaki gunung ke ketinggian menghampiri 1,000 meter pasti menjanjikan permulaan yang cukup mencabar pada edisi kali ini.

“Hasrat mengulangi memori pendakian berturut-turut di Cameron Highlands dan Genting Highlands yang cuma diadakan dua kali sebelum ini, iaitu pada 2001 dan 2011 dapat direalisasikan tahun ini,” katanya selepas majlis pelancaran LTdL 2026 di Menara KBS di sini hari ini.

Dr. Mohammed Taufiq berkata pihak pengurusan Resorts World Genting telah memberikan lampu hijau bagi membolehkan pelumba menawan puncak sukar itu pada Peringkat Kelima. 

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan harapan agar pasukan tempatan seperti Terengganu Cycling Team (TSG), Malaysia Pro Cycling Team (MPC) dan Pasukan Kebangsaan Malaysia mampu memberikan saingan sengit bagi merebut kedudukan podium.

Setakat ini, kesemua 20 pasukan, termasuk berstatus pasukan dunia, pasukan profesional, pasukan benua dan pasukan kebangsaan telah mengesahkan penyertaan masing-masing sebelum acara pelancaran rasmi disempurnakan hari ini.

Sementara itu, Dr. Mohammed Taufiq berkata pihaknya sedang berusaha dan dalam proses untuk mendapatkan penaja-penaja baharu bagi memastikan kelancaran kejohanan berprestij itu.

“Insya-Allah memang kami ada penaja-penaja yang telah pun mengadakan perbincangan dengan pihak MSN untuk penganjuran LTdL ini dan kami akan umumkan kemudian penaja-penaja ini,” katanya.

 

Berikut adalah senarai jadual perlumbaan LTdL 2026:

Peringkat 1: Ahad (27 Sept) Shah Alam - Kampar (193.0 km)

Peringkat 2: Isnin (28 Sept) Taiping - Gunung Jerai (145.6 km)

Peringkat 3: Selasa (29 Sept) Sungai Petani - Kuala Kangsar (189.9 km)

Peringkat 4: Rabu (30 Sept) Meru Raya - Cameron Highlands (140.1 km)

Peringkat 5: Khamis (1 Okt) Tapah - Genting Highlands (125.7 km)

Peringkat 6: Jumaat (2 Okt) Pandan Indah - Rembau (121.3 km)

Peringkat 7: Sabtu (3 Okt) Melaka - Batu Pahat (159.1 km)

Peringkat 8: Ahad (4 Okt) Muar - Putrajaya (183.8 km)

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2572975