KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) -- Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan meraikan ulang tahun ke-20 penubuhannya, menandakan dua dekad peranan strategiknya dalam memacu transformasi industri perkhidmatan air negara serta memperkukuh keterjaminan bekalan air demi kesejahteraan rakyat.
Sejak ditubuhkan pada 5 Mei 2006, syarikat itu telah membiayai pengambilalihan pinjaman industri air berjumlah RM23.04 bilion serta melaksanakan pelaburan pembangunan infrastruktur air bernilai RM23.84 bilion.
"Secara keseluruhan, jumlah pembiayaan dan pelaburan yang telah disalurkan mencecah RM46.88 bilion, menjadikan PAAB antara peneraju utama pembangunan infrastruktur awam negara," menurut PAAB dalam satu kenyataan.
Menurut kenyataan itu, sehingga Disember 2025, sebanyak 10 negeri telah menandatangani Pelan Penstrukturan Industri Perkhidmatan Air Negara yang menyaksikan pelbagai infrastruktur strategik berjaya disiapkan sepenuhnya, termasuk 21 loji rawatan air berkapasiti 2,085 juta liter sehari, 42 tangki simpanan dengan kapasiti 783 juta liter, serta penyambungan dan penaiktarafan 3,263 kilometer jajaran paip di seluruh negara.
Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-20 PAAB di Dewan Bankuet Menara Felda Platinum Park telah disempurnakan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof malam tadi.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Seri Mad Zaidi Mohd Karli, Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Datuk Abdul Kadir Mohd Din, Ketua Pegawai Eksekutif SPAN Datuk Ahmad Faizal Abdul Rahman, Pengerusi PAAB Datuk Seri Jaseni Maidinsa dan Ketua Pegawai Eksekutif PAAB Zulkiflee Omar.
Fadillah dalam ucapannya berkata isu kehilangan air tidak terhasil (NRW) yang mencecah kadar 40 peratus di seluruh negara menuntut tindakan bersepadu serta agresif tanpa perlu menunggu pelan jangka panjang hingga 2050 bagi menjamin kelangsungan bekalan air bersih rakyat dan industri.
Beliau berkata langkah segera perlu dilaksanakan memandangkan Malaysia kini sedang rancak menarik pelabur asing bagi industri impak tinggi dan berpertumbuhan tinggi, termasuk pusat data yang memerlukan sokongan utiliti tenaga serta bekalan air yang stabil.
"Sepuluh tahun belum selesai lagi masalah non-revenue water. Kita masih membuat loji, tapi 40 peratus air hilang begitu saja. Tindakan bersepadu yang melibatkan semua agensi kerajaan peringkat Persekutuan dan sokongan daripada kerajaan negeri amat diperlukan sekarang bagi memastikan rakyat tidak terus berdepan masalah gangguan bekalan air bersih," katanya.
Fadillah menekankan komitmen padu daripada PAAB serta SPAN dalam menerajui inisiatif dasar yang mampan amat kritikal bagi memacu kesejahteraan rakyat dan kemakmuran ekonomi negara.
"Kita tahu bahawa dengan komitmen semua, insya-Allah kita akan dapat menyediakan kemudahan ini untuk masa depan. Perancangan kita ada hingga 2050 untuk selesaikan permasalahan air negara, tapi tempoh itu terlalu lama. Kita kena buat tindakan agresif sekarang," kata beliau.
Pada majlis sama, Jaseni berkata mandat besar yang diberikan kepada PAAB adalah untuk merealisasikan Pelan Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negara melalui Hala Tuju Pemulihan Kos Penuh (Full Cost Recovery Roadmap) menjelang 2050.
Katanya, usaha tersebut dilaksanakan secara berfasa melalui empat peringkat utama iaitu Fasa Penstrukturan (Migration) 2008–2020, Fasa Kestabilan (Stabilisation) 2021–2030, Fasa Pengukuhan (Consolidation) 2031–2040, dan Fasa Pemulihan Kos Penuh (Full Cost Recovery) 2041–2050.
Memperincikan perbelanjaan modal (CAPEX) pembangunan infrastruktur bernilai RM23.84 bilion hingga Disember 2025, Jaseni berkata ia merangkumi RM8.33 bilion untuk projek yang telah siap dan diserahkan kepada syarikat operator air, manakala RM1.84 bilion melibatkan projek di peringkat pembinaan.
Baki sebanyak RM13.67 bilion pula merupakan peruntukan pembiayaan bagi projek-projek yang masih berada di peringkat reka bentuk dan perancangan masa hadapan bagi memastikan kelestarian jangka panjang industri air negara.
Menurut PAAB lagi, kejayaan bukan hanya diukur melalui nilai pelaburan atau jumlah aset yang dibangunkan, tetapi menerusi impak dinikmati penduduk melalui akses kepada bekalan air lebih stabil, bersih dan berkualiti setiap hari.
-- BERNAMA