Oleh Anas Abu Hassan
SINGAPURA, 27 Jun (Bernama) -- Hubungan dua hala antara Malaysia dan Singapura menjadi semakin teguh, hasil kerjasama rapat kedua-dua negara jiran dalam menangani cabaran yang datang, kata Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura , Datuk Dr Azfar Mohamad Mustafar, yang akan menamatkan tugasannya di negara seberang tambak itu
Mengimbas kembali tempoh perkhidmatannya selama lima tahun di republik itu, Azfar berkata memperkasakan perkongsian pelbagai aspek antara kedua-dua negara merupakan antara fokus utamanya, tatkala Malaysia dan Singapura mengharungi impak pandemik COVID-19 serta ancaman ketidakstabilan geopolitik global.
"Perjalanan kita masih jauh dan saya berharap dapat memainkan peranan kecil sepanjang tempoh saya berada di sini," katanya kepada Bernama dalam satu temu bual eksklusif baru-baru ini.
Azfar bakal menggalas tanggungjawab baharu sebagai Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom berkuat kuasa 1 Julai, selepas menerima watikah pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada 18 Mei lepas.
Pesuruhjaya Tinggi itu mengimbas kembali bahawa antara cabaran terbesar yang dihadapi beliau sebaik memegang jawatan pada Jun 2021 ialah menguruskan impak pandemik COVID-19.
Langkah-langkah bagi mengekang penularan virus berkenaan, termasuk penutupan sempadan darat semasa kemuncak pandemik, menjejaskan ramai rakyat Malaysia yang kebiasaannya berulang-alik setiap hari ke Singapura untuk bekerja dan berurusan.
"Kadangkala wujud cabaran berkaitan isu konsular disebabkan jumlah tinggi rakyat Malaysia yang memasuki Singapura setiap hari. Perkara ini perlu ditangani dengan segera," katanya.
Dari segi ekonomi, Azfar berkata perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara kekal menjadi tonggak utama hubungan dua hala, dengan Singapura terus berada dalam kalangan rakan dagang terbesar Malaysia.
Beliau berkata perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara telah melonjak semula dengan ketara, kembali ke paras sebelum pandemik.
"Dari segi menarik pelaburan, Singapura terus menjadi antara sumber pelaburan penting ke Malaysia.
Kita berharap dengan pembukaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura serta peluang-peluang baharu yang muncul, pelaburan Singapura akan terus meningkat, terutamanya di Johor," kata Azfar.
Merenung ke hadapan, diplomat itu menegaskan bahawa Malaysia akan terus menyokong Singapura apabila republik itu mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN tahun depan, selain bekerjasama bagi memperdalam integrasi ekonomi dalam kalangan negara anggota.
"Saya fikir Singapura telah menyatakan bahawa ini adalah satu daripada keutamaan mereka, jadi Malaysia akan terus menyokong Singapura dalam aspek ini.
Satu lagi perkara yang akan diusahakan oleh Malaysia dan Singapura secara rapat ialah untuk merealisasikan inisiatif Grid Kuasa ASEAN," katanya.
Azfar dilantik sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) pada 1996 dan menyertai Kementerian Luar pada 2001. Beliau sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Duta Besar Malaysia ke Perancis dari 2018 hingga 2021.
-- BERNAMA