DUNIA

Jerman Catat Suhu Tertinggi Dalam Sejarah, Cecah 41.3 Darjah Celsius

27/06/2026 12:32 PM

BERLIN, 27 Jun (Bernama-dpa) -- Jerman merekodkan suhu tertinggi dalam sejarah negara itu apabila bacaan sementara mencecah 41.3 darjah Celsius pada Jumaat, menurut Perkhidmatan Cuaca Jerman (DWD), lapor agensi berita Jerman (dpa).

Bacaan itu direkodkan pada 5 petang (1500 GMT) di Saarbrücken, negeri Saarland di barat Jerman, ketika gelombang haba yang melanda beberapa kawasan di Eropah Barat semakin memuncak di negara itu.

Jika disahkan, suhu berkenaan akan mengatasi rekod kebangsaan sebelum ini iaitu 41.2 darjah Celsius yang dicatatkan pada 25 Julai 2019.

DWD berkata beberapa rekod turut dipecahkan pada Jumaat, termasuk rekod tertinggi bagi bulan Jun di Jerman iaitu 39.6 darjah Celsius yang dicatatkan pada 30 Jun 2019 di bandar Bernburg, tengah negara itu.

Beberapa lokasi lain turut mencatatkan suhu melampau, termasuk Bad Kreuznach di negeri Rhineland-Palatinate dan Kitzingen di Bavaria yang masing-masing merekodkan suhu 40.7 darjah Celsius pada sebelah petang, menurut DWD.

Gelombang haba yang melanda Eropah Barat kini merebak ke Jerman, dengan suhu di beberapa kawasan lain termasuk Berlin dijangka mencecah atau melebihi 40 darjah Celsius pada hujung minggu ini.

-- BERNAMA-dpa

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2573696