PARIS, 27 Jun (Bernama-dpa) -- Pelan kecemasan diaktifkan di hospital sekitar wilayah Greater Paris bagi menggerakkan lebih ramai petugas untuk menangani peningkatan jumlah pesakit yang mengalami masalah kesihatan akibat gelombang haba melampau, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Pihak berkuasa kesihatan Paris berkata pada Jumaat bahawa gelombang haba itu memberi tekanan kepada sistem penjagaan kesihatan, khususnya jabatan kecemasan hospital dan perkhidmatan kecemasan.
Di bawah pelan kontigensi, petugas tambahan boleh dipanggil bertugas dan kerjasama antara kemudahan kesihatan dipertingkatkan.
Kementerian Kesihatan turut meluluskan penempatan pelajar perubatan di seluruh negara di pusat panggilan kecemasan dan sebagai penyelaras penghantaran bantuan perubatan bagi mengurangkan beban yang ditanggung perkhidmatan berkenaan.
Menurut pihak berkuasa, panggilan kecemasan di kawasan Greater Paris meningkat 61 peratus berbanding minggu lalu dan 75 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.
Jumlah pesakit berusia bawah dua tahun yang menerima rawatan di jabatan kecemasan meningkat 13 peratus berbanding minggu lalu, manakala pesakit berusia 75 tahun ke atas meningkat 47 peratus.
Beberapa hospital turut mengalami gangguan bekalan elektrik dan kerosakan sistem penyejukan, yang menjejaskan operasi sistem penyaman udara.
Menurut pihak berkuasa, gelombang haba itu turut menyebabkan peningkatan pesakit yang dimasukkan ke hospital akibat masalah kesihatan mental, dengan katil tambahan disediakan bagi menampung keperluan berkenaan.
Sementara itu, perkhidmatan ambulans Paris berdepan risiko kehabisan bekalan ais berikutan peningkatan jumlah pesakit yang memerlukan rawatan berkaitan haba.
Bagi membantu mengatasi kekurangan itu, rangkaian pasar raya Carrefour menyumbangkan empat tan ais, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Alexandre Bompard.
Bekalan ais itu dihantar dan diiringi polis ke gelanggang ais di Accor Arena, Paris untuk penyimpanan sementara.
Menurut perkhidmatan kaji cuaca negara itu, suhu di wilayah Paris dan timur Perancis sekali lagi mencecah sehingga 41 darjah Celsius pada Jumaat.
-- BERNAMA-dpa