LONDON, 27 Jun (Bernama-PA Media/dpa) -- United Kingdom (UK) menghantar pasukan mencari dan menyelamat ke Venezuela susulan gempa bumi dahsyat yang melanda negara itu pada Rabu, dengan angka korban kini menghampiri 1,000 orang, lapor PA Media/dpa.
Pasukan yang terdiri daripada 68 anggota daripada pelbagai jabatan bomba di seluruh UK berlepas dari Pangkalan Tentera Udara Diraja (RAF) Brize Norton pada Jumaat bersama enam ekor anjing pengesan serta petugas bantuan kemanusiaan.
Gempa bumi berukuran 7.2 dan 7.5 pada skala Richter yang melanda pada Rabu merupakan antara yang paling kuat melanda Venezuela dalam tempoh lebih satu abad dan gegarannya turut dirasai di seluruh rantau itu.
Pihak berkuasa tempatan melaporkan seramai 920 orang maut manakala 3,360 lagi cedera akibat gempa bumi berkenaan, dengan angka korban dijangka terus meningkat.
"Ingatan saya bersama rakyat Venezuela susulan gempa bumi dahsyat yang melanda negara itu minggu ini.
"UK berdiri teguh bersama semua mangsa yang terjejas, khususnya mereka yang kehilangan ahli keluarga, kediaman dan sumber pendapatan," kata Perdana Menteri UK Sir Keir Starmer.
Pasukan mencari dan menyelamat itu disediakan oleh UK International Search and Rescue (UKISAR), yang bertindak balas terhadap bencana bagi pihak Pejabat Luar, Komanwel dan Pembangunan (FCDO).
Selain pasukan UKISAR, UK turut menghantar anggota Pasukan Perubatan Kecemasan UK bagi membuat persiapan untuk penugasan perubatan selanjutnya.
Kerajaan UK juga menyediakan dana bantuan kemanusiaan sebanyak £2 juta bagi membantu usaha menangani bencana itu.
Sementara itu, Pejabat Luar mengesahkan semua kakitangannya selamat selepas Kedutaan British di Caracas mengalami kerosakan akibat gempa bumi berkenaan.
Kedutaan yang terletak di tingkat 11 sebuah bangunan pejabat di bahagian timur laut Caracas itu ditutup buat sementara waktu, namun alternatif telah disediakan bagi membantu rakyat British di negara itu.
Jumlah rakyat British di Venezuela dianggarkan hanya beberapa ratus orang dan setakat ini tiada laporan mengenai warga Britain yang terbunuh atau cedera.
-- BERNAMA-PA Media/dpa