AM

SEDA Malaysia, NEDO Jepun Lancar Projek Perintis Ubah Suai Pejabat Sifar Tenaga Pertama

27/06/2026 09:10 PM

KUALA LUMPUR, 27 Jun (Bernama) -- Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia (SEDA) dan Pertubuhan Pembangunan Tenaga Baharu dan Teknologi Perindustrian Jepun (NEDO) akan melancarkan projek perintis ubah suai Bangunan Pejabat Sifar Tenaga (ZEB) pertama di Malaysia di ibu pejabat SEDA Malaysia di Cyberjaya.

Inisiatif bersama itu akan mengubah ibu pejabat SEDA Malaysia menjadi sebuah kemudahan yang sangat cekap tenaga, sekali gus menjadi model perintis bagi kerja ubah suai bangunan lestari di seluruh Malaysia dan rantau ASEAN.

Ketua Pegawai Eksekutif SEDA Malaysia Datuk Hamzah Hussin berkata kerjasama dengan NEDO dan rakan teknologi dari Jepun itu menjadi satu langkah penting dalam memajukan matlamat tenaga lestari negara serta mengurangkan pelepasan karbon.

“Projek ini akan menjadi model praktikal kepada pemilik bangunan dan pihak berkepentingan industri untuk mempercepat penggunaan amalan bangunan lestari.

“Sebagai pihak berkuasa kebangsaan bagi tenaga lestari, SEDA Malaysia kekal komited untuk memacu inovasi, memperkukuh kerjasama antarabangsa serta menyokong peralihan Malaysia ke arah masa depan yang lebih hijau dan berdaya tahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hamzah berkata projek itu juga menunjukkan bagaimana bangunan sedia ada boleh diubah suai bagi menerajui usaha penyahkarbonan dalam sektor bangunan di Malaysia.

Bangunan berkeluasan kira-kira 5,000 meter persegi itu akan melalui transformasi menyeluruh dengan menggunakan teknologi penjimatan tenaga termaju dari Jepun serta penyelesaian pengurusan bangunan bersepadu.

Diterajui oleh NEDO, projek itu menggabungkan kepakaran empat syarikat terkemuka Jepun, iaitu Pacific Consultants Co Ltd, AGC Inc, Mitsubishi Electric Corporation dan Azbil Corporation.

Naik taraf utama merangkumi pemasangan sistem bangunan berkecekapan tinggi, Sistem Pengurusan Tenaga Bangunan (BEMS) termaju bagi pemantauan tenaga secara masa nyata serta teknologi tenaga boleh baharu seperti Fotovoltaik Bersepadu Bangunan (BIPV).

Projek itu juga akan menilai keberkesanan metodologi ISO/TS 23764 sebagai rangka kerja praktikal bagi penyahkarbonan bangunan sedia ada, sekali gus menyediakan data untuk pelaksanaan berskala besar pada masa hadapan.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2573906