Oleh Atira Khalisha Nor Adnan
KUALA LUMPUR, 28 Jun (Bernama) -- Haruman yang diinspirasikan daripada aroma makanan dan makanan seperti “kopi ikat tepi”, cendol dan kuih ketayap yang kini menjadi trend dalam kalangan pencinta minyak wangi tempatan turut “menjangkiti” pengguna di Indonesia, mencerminkan perubahan cita rasa masyarakat yang kian menggemari wangian unik dan dekat dengan identiti budaya tempatan.
Dikenali sebagai wangian “gourmand”, haruman ini tidak lagi terhad pada bauan vanila dan karamel tetapi semakin berkembang, menyaksikan kemunculan pelbagai aroma diinspirasikan daripada mangga, matcha, pistasio dan aneka pencuci mulut bagi memenuhi permintaan pengguna yang mahukan pengalaman bauan lebih kreatif.
Pengacara jualan siaran langsung Szindore Muhammad Ammar Jamil berkata trend itu turut mendorong syarikatnya menghasilkan siri Malaysian Delight yang menampilkan identiti makanan tempatan.
pic-2
“Kami dapati ramai pelanggan menyukai beberapa Malaysian Delight Series termasuk peminat dari Indonesia yang suka bauan-bauan makanan kita,” katanya kepada Bernama ketika ditemui pada Fragrance of Asia di Sentul Depot, di sini.
Selain “kopi ikat tepi”, ketayap dan cendol, syarikatnya turut memperkenalkan aroma mangga susu dan semperit “nenaih”.
Menurut Ammar, tidak semua wangian gourmand sesuai digunakan setiap hari kerana sesetengahnya mempunyai karakter yang terlalu berkrim, pekat dan manis.
pic-3
“Kalau hendak ke pusat beli-belah misalnya, pelanggan biasanya memilih nota lebih segar seperti limau dalam haruman Teh Singo keluaran kami, berbanding wangian gourmand yang lebih sesuai dipakai pada acara tertentu,” katanya sambil menambah golongan muda kini lebih cenderung meminati kategori wangian itu.
Pada masa sama, beliau berkata tidak semua menggemari minyak wangi berbau makanan, justeru syarikatnya menghasilkan haruman sedemikian sebagai koleksi eksklusif yang disasarkan kepada pengumpul minyak wangi.
“Harganya juga tinggi sedikit berbanding wangian lain kerana ada yang dihasilkan dalam edisi terhad,” tambahnya.
pic-4
Sementara itu, Pengasas Amthra Bali, Mitha Italia berkata penghasilan minyak wangi berinspirasikan makanan memerlukan keseimbangan formula agar haruman yang tercipta tidak terlalu berat atau seolah-olah boleh dimakan.
“Produk kami berasaskan pistasio, diinspirasikan daripada ais krim pistasio, tetapi kami menjadikannya lebih ringan dan segar dengan tambahan elemen sitrus serta ‘musk’ supaya lebih sesuai dipakai.
“Kalau terlalu manis seperti coklat, kita perlu menjadikannya lebih ringan agar sesuai dipakai walaupun identiti bau makanan masih ada,” katanya, menambah aroma makanan juga mampu meningkatkan mood seseorang.
pic-5
Fragrance of Asia yang berlangsung selama tiga hari bermula 26 Jun menghimpunkan pelbagai jenama minyak wangi dari Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand.
Pengasas program Erick Chua berkata acara itu memberi peluang kepada orang ramai memahami proses menghasilkan minyak wangi daripada bahan mentah hingga menjadi produk akhir.
“Pengunjung juga berpeluang mencuba dan mendapatkan pelbagai haruman daripada kategori biasa hinggalah bauan yang unik,” katanya.
-- BERNAMA