Oleh Nurhafizah Tan
KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Pernahkah anda dengar tentang individu yang gemar berpura-pura sakit bagi mendapatkan perhatian, simpati atau layanan sebagai seorang pesakit?
Golongan ini sanggup mereka-reka cerita, memalsukan simptom, malah mencederakan diri sendiri selain rela menjalani ujian dan pembedahan yang tidak diperlukan, demi mendapatkan “perhatian” pihak hospital dan orang sekeliling.
Pakar Neuropsikiatri Avisena Specialist Hospital Dr Najwa Hanim Md Rosli berkata tindakan individu berkenaan sebenarnya berkait rapat dengan gangguan mental yang dikenali sebagai sindrom Munchausen atau istilah diagnosisnya, Factitious Disorder.
"Tujuan atau matlamat utama mereka memang untuk mendapatkan faedah kesihatan atau perubatan, dan dari situ mereka akan mendapatkan perhatian. Yang penting, mereka mahu kekal sebagai pesakit," katanya dalam program Solusi Sihat terbitan Bernama Radio.
Individu ini biasanya akan menukar doktor atau berpindah ke hospital lain demi mengekalkan statusnya sebagai pesakit apabila pihak perubatan mula berasa curiga selepas didapati tiada bukti klinikal yang menunjukkan dia sakit.
Dr Najwa Hanim berkata apabila penipuan mereka mula terbongkar atau disarankan untuk dirujuk ke unit psikiatri, pesakit cenderung menunjukkan kemarahan kepada doktor kerana tidak mempercayainya, selain bertindak memencilkan diri daripada rakan sekerja atau ponteng kerja dalam tempoh yang lama.
Beliau berkata antara petunjuk awal gangguan ini ialah pesakit biasanya mempunyai pengetahuan perubatan yang mendalam hasil kajian sendiri, sehingga mereka mampu berdebat dan mencadangkan jenis ujian atau prosedur susulan yang spesifik kepada doktor.
pic-2
Katanya dalam sesetengah kes, manipulasi aduan sakit yang berterusan mampu mendorong pakar bedah melakukan prosedur atau pembedahan ulangan yang tidak perlu seperti membuka semula bekas luka pembedahan yang sudah sembuh sepenuhnya.
Lebih mengejutkan, ada penghidap sindrom ini turut menjadikan orang lain sebagai “pesakit” di bawah jagaannya seperti anak atau suami, yang dikenali sebagai Munchausen by Proxy.
"Contohnya digambarkan dalam filem fiksyen, seperti si ibu yang sanggup memberikan anaknya ubat haiwan atau racun supaya anak itu sentiasa dalam keadaan sakit dan mendapat rawatan profesional. Pada akhirnya, perhatian akan berbalik kepada si ibu yang mahu dipandang sebagai seorang isteri atau ibu yang baik, sanggup berkorban demi menjaga ‘pesakit,” jelasnya.
Jelas beliau, dorongan memalsukan sakit demi perhatian dalam sindrom Munchausen ini amat berbeza dengan diagnosis lain yang tidak bermotifkan kepentingan peribadi seperti Conversion Disorder (iaitu impak trauma melampau yang 'bertukar' menjadi sakit fizikal sebenar secara bawah sedar), ataupun yang bermotifkan keuntungan material seperti Malingering (sengaja menipu demi tuntutan insurans atau cuti sakit).
Mengulas faktor psikologi dominan yang mendorong seseorang ketagih mahu menjadi pesakit, Dr Najwa Hanim berkata selalunya keadaan itu berpunca daripada trauma semasa kecil, isu pengabaian emosi atau kekurangan kasih sayang.
Katanya secara bawah sedar, mereka menganggap perhatian hanya akan diberikan apabila mereka berada dalam keadaan sakit, sama seperti memori atau pengalaman yang mungkin pernah dilalui sewaktu kanak-kanak.
Mengenai rawatan, Dr. Najwa Hanim berkata pendekatan psikoterapi menjadi kaedah utama untuk membantu pesakit memahami serta merawat punca tingkah laku tersebut, selain pemberian ubat-ubatan sekiranya terdapat masalah sampingan seperti kemurungan atau keresahan.
“Kalau mereka sedar dan rasa mahu berubah, ada ruang untuk kita bantu. Tetapi kalau mereka masih dalam fasa penafian dan belum bersedia, proses rawatan sememangnya menjadi lebih sukar,” katanya.
-- BERNAMA