BELGRADE, 28 Jun (Bernama-Xinhua) -- Presiden Serbia Aleksandar Vucic pada Sabtu mengumumkan bahawa beliau akan kekal memegang jawatan untuk beberapa minggu lagi sebelum mengemukakan peletakan jawatan, lapor Xinhua.
Berucap pada perhimpunan yang menyokong kerajaan bertemakan "Serbia, Satu Keluarga" di Belgrade, Vucic berkata beliau akan terus menjalankan tugas sebagai presiden buat sementara waktu sebelum berundur.
Beliau turut menyeru perpaduan nasional dan berkata akan memperkenalkan gabungan pilihan raya yang dikenali sebagai "Serbia Bersatu" bagi menghadapi pilihan raya akan datang.
Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan bila Parlimen akan dibubarkan bagi memberi laluan kepada pilihan raya awal.
Vucic berkata Serbia kini berada pada fasa kritikal pembangunan dan perlu mengekalkan kestabilan politik serta perpaduan sosial, sambil berikrar untuk terus berusaha merangsang pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan taraf hidup rakyat.
Beliau berkata kerajaan menyasarkan untuk meningkatkan purata gaji bulanan kepada 1,400 euro (US$1,594.53) dan purata pencen kepada 650 euro (US$740.32) dalam tempoh beberapa tahun akan datang, di samping memperluas bantuan kepada golongan berpendapatan rendah.
Menurut Kementerian Dalam Negeri Serbia, kira-kira 207,000 penyokong dari seluruh negara menghadiri perhimpunan itu bersama anggota kerajaan serta wakil gabungan parti pemerintah.
Penggal kedua Vucic sebagai presiden, yang masing-masing berlangsung selama lima tahun dijadual berakhir pada musim bunga 2027.
Mengikut Perlembagaan Serbia, penggal itu juga merupakan penggal terakhir beliau memegang jawatan presiden.
-- BERNAMA-XINHUA