MUAR, 28 Jun (Bernama) -- Pakatan Harapan (PH) komited memperkasakan agenda golongan muda pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan menterjemahkan aspirasi kumpulan itu melalui pemilihan barisan calon belia yang berwibawa.
Pengarah Komunikasi PH Datuk Fahmi Fadzil berkata komitmen itu dibuktikan apabila gabungan berkenaan menampilkan ramai calon muda berlatarbelakangkan kerjaya profesional termasuk calon termuda bagi pilihan raya kali ini.
“Calon yang paling muda bagi PRN kali ini datang daripada PH, saudara Danish Hossman, beliau merupakan calon termuda usia 23 tahun.
"Bagi PH, ini membuktikan bahawa kita mendengar harapan aspirasi anak muda, yang mereka harapkan adalah representasi yang benar-benar menjiwai harapan mereka, aspirasi mereka," katanya yang juga Menteri Komunikasi ketika ditemui di sini hari ini.
Turut hadir calon PH bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Balang Ayna Soraya Badaruddin.
Mengenai strategi menghadapi tempoh berkempen selama 14 hari, Fahmi berkata kepimpinan gabungan itu sedang merangka beberapa pengisian dinamik termasuk pelancaran rasmi Manifesto PH Johor dalam masa terdekat.
Beliau berkata pembentangan manifesto itu akan membuktikan keseriusan PH untuk menawarkan pelan pentadbiran terbaik, sekali gus berusaha meningkatkan jumlah lebih 12 kerusi yang dimenangi pada PRN Johor 2022.
Mengenai fokus kempen, Fahmi menasihatkan semua jentera dan parti yang bertanding agar mengutamakan persaingan sihat yang berfokus kepada tawaran dasar parti serta ketokohan calon tanpa menyentuh sensitiviti 3R (agama, bangsa, institusi diraja).
"Pandangan saya, tidak payah sentuh (isu 3R) pun, biar parti lawan parti. Fokus kepada parti-parti politik, dan tokoh-tokoh politik," katanya.
Sementara itu, Ayna Soraya berkata beliau tekad menterjemahkan pengalamannya dalam sektor maritim untuk membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti tinggi kepada belia tempatan dalam bidang pertanian, perikanan dan pelancongan.
Timbalan Ketua Srikandi PKR itu merancang mentransformasikan industri perikanan di Parit Jawa berikutan kadar penglibatan golongan belia dalam bidang berkenaan ketika ini dikesan terlalu kecil.
"Saya lihat kalau sektor maritim ataupun perikanan... potensinya sangat baik. Saya difahamkan anak muda nelayan lebih kurang dalam dua ke tiga peratus di Parit Jawa sahaja. Jadi jika diberikan pembangunan yang lebih baik, peluang untuk anak muda itu luas," katanya.
PRN Johor akan berlangsung 11 Julai ini, manakala pengundian awal pada 7 Julai.
Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor/.
-- BERNAMA
N16: SUNGAI BALANG: JOHOR: 31,039
1. Selamat Takim(BN-UMNO)
2. Muhammad Amin Sailan(PN-PAS)
3. Ayna Soraya Badaruddin(PH-PKR)
(2022: Selamat Takim: BN-UMNO: Maj: 2,293)