AM

Kementerian Pengangkutan Kenal Pasti Kawasan Laksana TOD Sekitar LRT3

28/06/2026 03:16 PM

KLANG, 28 Jun (Bernama) -- Kementerian Pengangkutan telah mengenal pasti beberapa kawasan di sekitar stesen Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Laluan Shah Alam untuk melaksanakan Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD). 

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata antara kawasan berpotensi ialah stesen Sri Andalas, Kayu Ara, Bandar Bukit Tinggi dan Johan Setia yang mempunyai kawasan yang luas untuk membangunkan pusat komersial atau perumahan mampu milik. 

“Kalau dulu park and ride sahaja, tanah itu tidak dioptimumkan kerana jika untuk 600 kenderaan (ia) hanya akan memanfaatkan 600 orang memandangkan dia menggunakannya sepanjang hari. Jadi kita kena lihat dan dasar kerajaan ialah untuk kita optimumkan penggunaan tanah dan konsep TOD ini,” katanya. 

Loke berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran LRT3 Laluan Shah Alam di sini hari ini yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Hadir sama Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Loke berkata pembangunan di kawasan terbabit akan melibatkan kerjasama pihak swasta dalam memastikan masyarakat dapat menikmati limpahan pembangunan susulan pembinaan kemudahan itu. 

Dalam pada itu, Loke berkata Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) bercadang untuk menambah lima lagi stesen bagi laluan Shah Alam iaitu stesen Tropicana, Raja Muda, Temasya, Bukit Raja dan Bandar Botanik dengan pembinaan dijangka bermula hujung tahun ini. 

Terdahulu, Anwar dalam ucapan beliau mahu tanah milik Prasarana yang terletak berhampiran stesen pengangkutan awam dibangunkan sebagai projek perumahan rakyat menerusi konsep TOD. 

Perdana Menteri berkata pembangunan di kawasan strategik berhampiran perlu mengutamakan kemudahan parkir yang mencukupi serta ruang perniagaan untuk usahawan kecil dan sederhana. 

Pendekatan itu, menurut Perdana Menteri dapat mengurangkan kos perjalanan rakyat dan meningkatkan penggunaan pengangkutan awam, malah berpotensi menjana pulangan komersial yang lebih baik.

LRT3 Laluan Shah Alam dari Bandar Utama ke Johan Setia bakal memanfaatkan dua juta penduduk di sekitar jajaran dengan jarak sepanjang 37.8 kilometer.

Prasarana menyasarkan jumlah perjalanan penumpang (ridership) sebanyak 67,000 sehari pada tahun pertama operasi dan meningkat kepada 117,708 sehari dalam tempoh lima tahun.

-- BERNAMA 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2574056