MELAKA, 28 Jun (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka memberi jaminan bekalan diesel bagi pelaksanaan BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) mencukupi di negeri itu.
Pengarahnya Dr Mohd Hazimin Jamaludin berkata pemantauan pihaknya semalam mendapati tiada kesesakan berlaku stesen minyak selepas kerajaan mengumumkan harga baharu bahan api berkenaan kepada RM2.15 seliter.
"Melalui semakan kita, stok diesel mencukupi ketika ini dan mampu menampung keperluan dalam negeri memandangkan Melaka menjadi destinasi sering dikunjungi pelancong.
"Setakat ini kita tidak menerima apa-apa aduan dan KPDN sentiasa memastikan pegawai berada di lapangan untuk membantu membimbing dan melaksanakan advokasi terhadap pengguna bagi proses ini berjalan dengan baik dan lancar," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan penjualan diesel di sebuah stesen minyak di Klebang, di sini, hari ini.
Dalam pada itu Mohd Hazimin turut memberi amaran keras kepada pihak tidak bertanggungjawab yang cuba menyeleweng bahan api bersubsidi bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mereka.
"Kita berharap selepas ini tidak ada lagi berlaku penyelewengan barang-barang subsidi ataupun minyak terutama sekali di negeri ini," katanya.
Akses awal BUDI Diesel di Semenanjung Malaysia menyaksikan diesel bersubsidi dijual pada harga RM2.15 seliter menggunakan pengesahan MyKad di stesen minyak yang mengambil bahagian, manakala pelaksanaan penuh bermula pada 1 Julai di seluruh negara, dengan harga diesel bersubsidi pada RM2.10 seliter kepada rakyat Malaysia yang layak.
-- BERNAMA