KUALA LUMPUR, 28 Jun (Bernama) -- Tidak kira betapa canggih peralatan pendakian dan operasi menyelamat pada masa ini, gunung tetap menjadi persekitaran yang berbahaya dan menuntut rasa hormat yang tinggi, kata rakyat Malaysia yang berjaya menawan Gunung Everest, Datuk M. Magendran.
Mengambil iktibar daripada beberapa tragedi yang melibatkan pendaki Malaysia, Magendran berkata persiapan rapi kekal menjadi keutamaan untuk ekspedisi yang selamat, sama ada mendaki bukit biasa mahupun gunung tertinggi di dunia.
“Pada 30 tahun lepas, peralatan digunakan sangat sederhana. Hari ini, peralatan itu jauh lebih moden dan canggih, namun keadaan di Gunung Everest masih sama, begitu juga cabarannya.
“Tidak kira gunung mana sekalipun, kita perlu menghormatinya dan sentiasa berhati-hati. Kita perlu membuat persiapan secukupnya kerana itu bukan tempat kita,” katanya pada program “Sigaram”, bicara motivasi selama dua jam anjuran Time Lapse Adventures di Universiti Malaya, di sini malam tadi.
Magendran berkata berbeza dengan tiga dekad lepas, apabila peralatan pendakian sukar diperoleh dan mahal di Malaysia, pendaki kini mempunyai akses mudah kepada pelbagai jenis peralatan berkualiti dan mampu milik di banyak kedai khusus untuk aktiviti luar di seluruh negara.
Berucap di hadapan kira-kira 130 peminat aktiviti luar, Magendran berkata kejayaan mencapai puncak tidak seharusnya dianggap sebagai pencapaian mutlak seseorang kerana pendaki hanya boleh dianggap berjaya sekiranya mereka dapat pulang dengan selamat.
Sesi berkenaan turut menyaksikan Magendran berkongsi cabaran fizikal, mental dan emosi yang dihadapi ahli Ekspedisi Everest Malaysia sebelum beliau dan Datuk N. Mohandas menjadi rakyat Malaysia pertama menjejakkan kaki di puncak gunung tertinggi dunia itu pada 23 Mei 1997.
Menyifatkan pencapaian itu sebagai antara detik paling bermakna dalam hidupnya, beliau turut mendedahkan perancangan untuk menerbitkan buku yang mendokumentasikan perjalanan Everest beliau bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-30 pencapaian bersejarah itu, tahun depan.
Dalam pada itu, beliau berkata musim pendakian Gunung Everest 2023 dianggap sebagai episod paling gelap melibatkan pendaki negara apabila Muhammad Hawari Hashim, yang menjadi rakyat Malaysia pertama sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) pendengaran dan pertuturan menawan Everest, dilaporkan hilang ketika turun dari puncak dan masih belum dijumpai hingga kini.
Magendran berkata pada tahun yang sama, seorang lagi pendaki Malaysia, Awang Askandar Ampuan Yaacub meninggal dunia, manakala dua lagi pendaki berjaya diselamatkan, sekali gus menggambarkan bahaya yang menanti disebabkan faktor ketinggian melampau, keletihan dan keadaan cuaca yang tidak menentu.
Pada penghujung program itu, Magendran menyampaikan cenderamata dan sijil kepada 33 pendaki sebagai pengiktirafan atas kejayaan menamatkan cabaran G7 (tujuh puncak tertinggi di Semenanjung Malaysia) dan G11 (11 puncak tertinggi di Semenanjung Malaysia).
Anugerah khas turut diberikan kepada dua pendaki yang berjaya menamatkan laluan mencabar Trans Titiwangsa V4 meliputi 238 kilometer (km) dari Jeli ke Cameron Highlands, dan laluan Trans Titiwangsa V6 sepanjang 656.05 km dari Jeli ke Bukit Fraser.
Magendran dan Mohandas menjadi rakyat Malaysia berjaya menawan Gunung Everest pada 1997, manakala Mohd Khafiz Bachok menjadi pendaki negara ke-30 berjaya sampai ke puncak gunung berkenaan, bulan lepas.
Baru-baru ini, beberapa kejadian berkaitan aktiviti pendakian di negara ini menarik perhatian umum termasuk kematian remaja berusia 19 tahun Nur Izzati Humaira Azizul, yang hilang semasa menuruni Bukit Changkat Asa di Hulu Bernam, Selangor pada 23 Mei sebelum mayatnya ditemukan tiga hari kemudian.
Jaslinda Saludin, 49, pula berjaya diselamatkan oleh Orang Asli berhampiran Kampung Lubuk Gaharu, Pos Musoh, Perak pada 6 Jun selepas dilaporkan hilang selama kira-kira dua minggu ketika menyertai ekspedisi Trans Spencer Chapman pada 23 Mei.
-- BERNAMA