AM

KPDN Laksana 15,150 PJRM Setakat Jun, Manfaatkan Hampir 19 Juta Pengguna

28/06/2026 06:48 PM

TAMPIN, 28 Jun (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melaksanakan 15,150 Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) di seluruh negara bagi enam bulan pertama tahun ini dengan nilai jualan melebihi RM675 juta.

Timbalan Menteri berkenaan Datuk Dr Fuziah Salleh berkata program tersebut memberi manfaat kepada hampir 19 juta pengguna menerusi tawaran penjimatan sehingga 30 peratus.

“Sambutan memberangsangkan terhadap program itu membuktikan PJRM kini bukan lagi sekadar inisiatif intervensi harga, malah menjadi pilihan utama rakyat untuk mendapatkan barangan keperluan harian pada harga lebih rendah.

"Maklum balas yang diterima juga amat positif dengan ramai pengguna mengharapkan program ini diperluas dari segi kekerapan penganjuran, jumlah lokasi dan kepelbagaian barangan yang ditawarkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mini Karnival KPDN di Tampin Square di sini hari ini.

Beliau berkata di Negeri Sembilan, 2.24 juta pengguna menikmati manfaat daripada 848 PJRM yang meliputi kawasan bandar, luar bandar, FELDA, Kampung Orang Asli, institusi pengajian tinggi, pasar awam dan premis runcit dalam tempoh sama.

Fuziah turut menyasarkan sekurang-kurangnya 1,300 penganjuran PJRM sepanjang tahun ini di negeri ini sebagai komitmen memastikan lebih ramai rakyat mendapat akses kepada barangan keperluan asas pada harga berpatutan.

Dalam pada itu, beliau berkata Mini Karnival KPDN itu menampilkan konsep pusat sehenti yang membolehkan orang ramai mendapatkan pelbagai perkhidmatan kerajaan di satu lokasi, termasuk melibatkan pihak berkuasa tempatan, pejabat tanah, pusat zakat serta pembaharuan lesen.

Katanya, pendekatan itu memudahkan rakyat menyelesaikan pelbagai urusan dalam satu kunjungan sekali gus menjimatkan masa dan kos.

Pada program tersebut, sebanyak 40 bakul Ihsan Food Bank (i-FB) turut disumbangkan kepada golongan memerlukan bertujuan membantu meringankan beban kos sara hidup di samping mengurangkan pembaziran makanan melalui kerjasama pelbagai agensi, pertubuhan bukan kerajaan dan pemain industri.

Dalam perkembangan berasingan, Fuziah berkata bagi memperkukuhkan lagi agenda kesejahteraan rakyat, KPDN masih meneruskan pelaksanaan Menu RAHMAH membabitkan 3,278 peniaga di seluruh negara setakat ini.

Beliau berkata inisiatif itu membuktikan kerjasama erat antara kerajaan dan sektor swasta mampu menghasilkan penyelesaian yang memberi manfaat terus kepada rakyat tanpa menjejaskan kelangsungan perniagaan.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2574152