KUALA LUMPUR, 28 Jun (Bernama) -- Dua lelaki yang ditahan bersama dadah selepas kereta dinaiki mereka merempuh tiga kenderaan ketika dikejar polis di Jalan Kuching, di sini pada Jumaat direman lima hari hingga 1 Julai bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata siasatan awal mendapati dadah disyaki heroin seberat 19.63 gram yang ditemukan dalam kenderaan dinaiki kedua-dua lelaki itu dipercayai untuk kegunaan sendiri.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama. Siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini dilaporkan kedua-dua suspek, iaitu pemandu berusia 40 tahun dan penumpang, 42, cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis.
Ketika dikejar polis, pemandu kenderaan itu yang memandu secara berbahaya hilang kawalan lalu merempuh tiga kenderaan lain yang berhenti akibat kesesakan lalu lintas dan kejadian tersebut turut tular di media sosial.
-- BERNAMA