Oleh Wartawan Bernama Lifestyle
KUALA LUMPUR, 29 Jun (Bernama) -- Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) meminta kerajaan mengambil alih kawalan ke atas mekanisme kutipan dan pengagihan royalti muzik bagi menangani pelbagai isu yang membelenggu industri itu selama lebih dua dekad.
Presiden Karyawan Datuk Freddie Fernandez dalam kenyataan hari ini, berkata resolusi itu adalah antara yang diluluskan sebulat suara pada Mesyuarat Agung Tahunan persatuan berkenaan.
Cadangan itu mengambil contoh model Indonesia yang menubuhkan Lembaga Manajemen Kolektif Nasional (LMKN) untuk mengurus kutipan royalti persembahan awam secara berpusat.
"Indonesia menghadapi isu-isu serupa sehinggalah kerajaan menyelesaikannya dengan mengambil alih semua kutipan royalti daripada badan-badan pengumpul sedia ada,” katanya.
Menurut Freddie, dengan kutipan royalti persembahan awam mencecah hampir RM200 juta setahun, sudah tiba masanya Malaysia memperbaharui sistem kutipan dan pengagihan royalti supaya lebih adil, telus dan bertanggungjawab.
Katanya, industri muzik sejak sekian lama berdepan pelbagai aduan berkaitan ketelusan pengurusan royalti, kos pentadbiran yang tinggi, struktur kutipan berpecah-belah serta pertikaian antara organisasi pengurusan kolektif dan juga kalangan pemain industri mengenai agihan royalti.
pic-2
Selain itu, Karyawan turut mencadangkan kerajaan membangunkan platform pengurusan royalti digital berpusat yang dikendalikan di bawah seliaan kerajaan untuk pendaftaran hak muzik, penjejakan penggunaan, pengiraan royalti dan pengagihan.
“Platform dicadangkan ini akan berfungsi sebagai perpustakaan hak muzik nasional dan sistem pengagihan royalti diurus kerajaan, dengan setiap karya muzik, rakaman bunyi, struktur pemilikan hak, rekod pelesenan, laporan penggunaan, jumlah kutipan dan pembayaran pengagihan dicatat, disahkan dan boleh diaudit,” katanya.
Beliau berkata sistem itu membolehkan setiap penggunaan lagu dipadankan dengan pemegang hak yang sah, sekali gus memastikan royalti dikira dan diagihkan secara automatik berdasarkan data pemilikan yang disahkan dan penggunaan sebenar.
Pendekatan ini dapat mengurangkan pertindihan proses pentadbiran, meningkatkan ketelusan dan menyediakan jejak audit yang jelas kepada kerajaan, pemegang hak, pengguna serta pihak berkepentingan, kata Freddie.
“Sistem ini juga, sehingga tahap tertentu, akan mengawal penggunaan muzik yang dijana AI (kecerdasab buatan)- sesuatu yang berkemungkinan berlaku sekiranya tiada tindakan diambil," katanya.
pic-3
Freddie berkata model di bawah seliaan kerajaan itu selari dengan Garis Panduan Hakcipta (Organisasi Pengurusan Kolektif) 2025 kerana mampu memperkukuh tadbir urus, ketelusan, penyimpanan rekod, pelaporan dan akauntabiliti dalam pengurusan royalti.
Jelasnya cadangan itu dikemukakan susulan perkembangan melibatkan Karyawan, Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) serta tiga badan pengumpul royalti, iaitu Badan Perlindungan Hakcipta Karyawan Malaysia (MACP), Public Performance Malaysia (PPM) dan Recording Performance Malaysia (RPM) yang membawa kerajaan ke mahkamah.
Selain isu royalti, Karyawan turut membangkitkan isu syarikat rakaman tidak membayar bahagian royalti artis daripada jualan album dan platform media sosial.
“Ini terbukti keluarga penyanyi legenda Malaysia yang telah meninggal dunia, Sudirman Arshad, baru sahaja menerima royalti merangkumi berdekad-dekad sejumlah RM367,000 setelah sekian lama menunggu.
“Sejak itu, ramai ahli kami memaklumkan mereka tidak menerima royalti setimpal daripada jualan dan perkhidmatan penstriman. Karyawan sedang mengumpul semua data yang diperlukan untuk mewakili mereka dalam usaha mendapatkan keadilan dan penyelesaian yang adil atas hak mereka," katanya.
Mesyuarat itu turut membincangkan beberapa isu lain termasuk kecenderungan memilih pempengaruh media sosial berbanding pelakon berpengalaman dalam penerbitan drama dan filem, keperluan perlindungan lebih baik kepada artis di bawah Akta Ekonomi Gig, serta penggunaan AI dalam penghasilan muzik.
-- BERNAMA