GAYA HIDUP

Konsert Revolusi Radja 25 Tahun Ditunda Ke 19 Sept Depan

29/06/2026 03:48 PM

Oleh Wartawan Bernama Lifestyle

KUALA LUMPUR, 29 Jun (Bernama) -- Konsert Revolusi Radja 25 Tahun yang dijadualkan berlangsung pada 11 Julai ini di Stadium Hoki Bukit Jalil di sini, ditunda ke 19 Sept depan.

Penganjurnya Dhyah Production dan Infinity Love Creative Ventures dalam satu kenyataan memaklumkan keputusan itu dibuat selepas mengambil kira beberapa faktor semasa.

“Ini termasuk lambakan acara hiburan dan konsert berskala besar yang dijadualkan berlangsung dalam tempoh sama, selain situasi Pilihan Raya Negeri yang turut berlangsung ketika itu,” menurut kenyataan itu hari ini.

Menurut penganjur, penundaan itu bagi memastikan perjalanan konsert lebih teratur serta tidak menjejaskan keselesaan penonton dari segi pergerakan lalu lintas dan kemudahan letak kenderaan. 

Konsert Revolusi Radja 25 Tahun bakal menyajikan persembahan istimewa dengan himpunan lagu-lagu popular yang dekat di hati peminat Malaysia dan Indonesia sepanjang lebih dua dekad perjalanan muzik Radja. 

Konsert bakal turut menampilkan beberapa artis undangan istimewa sekali gus menjanjikan malam penuh bersejarah dan lebih eksklusif buat para peminat.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2574457