DUNIA

APR Ke-39 Adakan Kaukus Khas Mengenai Myanmar - ISIS Malaysia

29/06/2026 06:33 PM

Oleh Rohani Mohd Ibrahim

KUALA LUMPUR, 29 Jun (Bernama) -- Situasi di Myanmar akan dibincangkan secara menyeluruh dalam satu daripada kaukus Meja Bulat Asia-Pasifik (APR) Ke-39 yang bermula Selasa (30 Jun), kata Pengerusi Eksekutif Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia Datuk Prof Dr Mohd Faiz Abdullah.

Beliau berkata pada Sidang Kemuncak ASEAN yang diadakan baru-baru ini di Cebu, Filipina, isu Myanmar dibangkitkan secara lebih berhati-hati memandangkan negara anggota ASEAN berpegang kepada pendirian rasmi masing-masing.

“Justeru, pada APR Ke-39 akan berlangsung perbincangan yang sangat mendalam, sama ada dalam sesi pleno mahupun kaukus.

“Pengamal APR, badan pemikir dan pakar mengenai Myanmar akan mengupas isu itu dengan lebih mendalam,” katanya ketika menjadi tetamu program Bernama World terbitan Bernama TV bertajuk, 39 Years of The Asia-Pacific Roundtable di Wisma Bernama pada Isnin.

Menurut Mohd Faiz, isu lain yang akan dibincangkan pada APR ialah Laut China Selatan, situasi di Asia Barat, tarif, kekurangan bekalan tenaga serta perkembangan berkaitan kecerdasan buatan (AI).

Beliau berkata perkembangan APR sejak penganjuran sulungnya membuktikan persidangan itu terus relevan, dengan edisi tahun ini dijangka menghimpunkan kira-kira 400 peserta dari 30 negara berbanding hanya sekitar 30 hingga 40 peserta ketika pertama kali diadakan 39 tahun lalu.

Bertitik tolak daripada tema terdahulu, iaitu interregnum dan recalibration, APR Ke-39 memberi tumpuan kepada tema Accelerating Agency and Action, yang menekankan usaha mempercepat keupayaan rantau ini untuk bertindak dan memimpin dalam menghadapi perubahan geopolitik yang semakin kompleks.

APR yang diadakan selama tiga hari itu, merupakan acara antarabangsa utama anjuran ISIS Malaysia, akan berlangsung sehingga 2 Julai di Kuala Lumpur.

APR merupakan persidangan Asia Tenggara yang membincangkan isu-isu utama yang mempengaruhi rantau Asia-Pasifik.

Ia juga merupakan antara platform Dialog Trek 2 yang terkemuka di rantau ini serta tersenarai dalam 20 persidangan keselamatan strategik terbaik dunia.

Dianjurkan oleh ISIS Malaysia bagi pihak ASEAN-ISIS, iaitu rangkaian institusi dasar dan badan pemikir terkemuka Asia Tenggara, APR secara konsisten menghimpunkan lebih 300 pemikir untuk mengadakan perbincangan yang terbuka, konstruktif dan bermakna mengenai isu yang membentuk keselamatan, kestabilan, kemampanan dan kemakmuran rantau ini.

APR turut menghimpunkan pakar dari seluruh rantau bagi meneliti trend dan perkembangan terkini, selain memberi pandangan tentang cara kerajaan dan sektor perniagaan dapat mengharungi landskap strategik yang semakin kompleks.

-- BERNAMA

 

 

KEYWORDS
     
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2574571