JENAYAH & MAHKAMAH

Seorang Lemas, Lima Selamat Dalam Kejadian Bot Nelayan Terbalik

29/06/2026 07:47 PM

SUNGAI PETANI, 29 Jun (Bernama) -- Seorang nelayan lemas manakala lima lagi terselamat selepas bot dinaiki mereka terbalik berdekatan Pulau Sayak, dekat sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Hanyan Ramlan ketika dihubungi mengesahkan menerima maklumat mengenai kejadian pada pukul 12.10 tengah hari tadi.

"Kesemua nelayan tersebut adalah nelayan tempatan dan kesemua mangsa telah dibawa naik melalui Tanjung Dawai.

"Mangsa yang maut berusia 27 tahun manakala lima lagi yang terselamat berusia lingkungan 25 hingga 35 tahun," katanya.

Beliau berkata mayat nelayan tersebut telah dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini untuk bedah siasat.

"Lima lagi mangsa yang terselamat pula telah diberi rawatan di Tanjung Dawai sebelum disahkan tidak mengalami kecederaan," katanya.

Sementara itu, difahamkan ketika kejadian kesemua nelayan terbabit dalam perjalanan pulang ke Tanjung Dawai selepas aktiviti memukat ikan di kawasan perairan Batu Maung, Pulau Pinang.

 -- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2574616