JOHOR BAHRU, 30 Jun (Bernama) -- Tindakan sekumpulan pimpinan dan ahli PKR yang dilapor keluar parti untuk menyertai MIC baru-baru ini disifatkan sebagai sesuatu yang agak ‘pelik’, kata Setiausaha Agung PKR Datuk Dr Fuziah Salleh.
Beliau berkata penelitian pihaknya mendapati keputusan itu didorong oleh rasa kecewa kerana tidak diberikan sebarang jawatan dalam parti.
“Saya baca kenyataan tersebut antaranya ialah mereka kecewa tidak dapat jawatan. So I wish them all the best (saya doakan yang terbaik untuk mereka), harap-harap dapatlah jawatan yang besar-besar di sana," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke SDS Food Sdn Bhd, di Skudai, hari ini.
Pada 28 Jun lepas, bekas Naib Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri Johor M. Murugan mengumumkan pihaknya bersama kira-kira 200 penyokong keluar parti dan menyertai MIC Bahagian Iskandar Puteri.
Dalam pada itu, mengulas gesaan Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang supaya pengundi tidak memilih Pakatan Harapan (PH), Fuziah berkata kenyataan itu mendedahkan wujudnya usaha menghidupkan semula kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan PAS.
Sehubungan itu, beliau meminta pengundi di negeri berkenaan untuk bijak menilai perkara tersebut sebelum membuat keputusan.
Mengenai strategi Perikatan Nasional (PN) yang dilihat cuba 'memancing' penyokong BN, Fuziah berpandangan taktik itu sebenarnya memakan diri dan mencerminkan keretakan dalaman gabungan tersebut.
"Saya tengok ia akan memberi kesan lebih kepada PN sebenarnya sebab apa yang diumumkan oleh PAS itu merupakan tikam belakang kepada kawan mereka sendiri.
“Saya tengok semuanya memberi advantage (kelebihan) kepada Pakatan Harapan (PH),” katanya.
PRN Johor menyaksikan seramai 172 calon bertanding merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan hari pengundian ditetapkan pada 11 Julai ini, manakala pengundian awal pada 7 Julai
Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor/.
-- BERNAMA